GIGABYTE RTX 3090 sesuai untuk resolusi permainan tinggi di samping memudahkan tugasan sintesis animasi dan video.
GIGABYTE RTX 3090 sesuai untuk resolusi permainan tinggi di samping memudahkan tugasan sintesis animasi dan video.
Muhammad Saufi Hassan

MENYENTUH aspek kepuasan dalam permainan, pastinya resolusi 1080p bukan jawapannya sebaliknya mungkin 2K atau 4K, namun ia bergantung kepada rujukan peribadi seseorang penggemar permainan video.

Untuk permainan dunia terbuka (open world) seperti Assassin's Creed: Odyssey atau sebarang genre 'open world' memerlukan kad grafik berprestasi tinggi untuk menghasilkan 60 kadar segar semula (FPS), sekali gus memberikan pengalaman permainan lebih baik.

Bagi tujuan itu, penulis berkesempatan menggunakan kad grafik tahap 'gergasi' iaitu Gigabyte Windforce RTX 3090 yang berkeupayaan untuk pengalaman permainan sehingga resolusi 8K.

Memandangkan tanda harga untuk skrin 8K boleh dikatakan dalam 'kluster kayangan', penulis mencuba resolusi 4K dan 2K untuk beberapa permainan berkonsep dunia terbuka antaranya Assassin's Creed: Odyssey, Metro: Exodus, Horizon Zero Dawn dan Shadow of Tomb Raider memandangkan semua judul berkenaan bertaraf AAA.

Menyentuh aspek spesifikasi Gigabyte RTX 3090 atau kod nama produknya GA102 mempunyai talaan asas pada 1,395MHz dan talaan diubah sebanyak 1,755MHz iaitu pertambahan 60MHz berbanding kad asas (Founders Edition).

DIDATANGKAN dengan tiga kipas yang saling berpusing secara terbalik antara satu sama lain untuk memberi penyaluran udara optimum.
DIDATANGKAN dengan tiga kipas yang saling berpusing secara terbalik antara satu sama lain untuk memberi penyaluran udara optimum.

Kad ini didatangkan dengan 10,496 teras CUDA bersama keupayaan video memori (VRAM) 24GB dan memori pemuka 394-bit, sekali gus kad ini adalah 'gergasi' untuk setiap permainan yang berada di pasaran pada masa kini.

Menyentuh aspek rekaan, ia didatangkan dengan tiga kipas yang saling berpusing secara terbalik antara satu sama lain untuk memberi penyaluran udara optimum selain bertujuan mengekalkan suhu paling minimum walaupun ketika prestasi penuh (full load).

Kad Gigabyte RTX 3090 ini juga dilengkapi dengan plat pelindung belakang untuk memberi ketahanan, sebaran haba lebih baik di samping meningkatkan nilai kosmetik kad Gigabyte ini.

Untuk Gigabyte Gaming OC RTX 3090 ini memerlukan dua slot 8-pin punca kuasa dan sekurang-kurangnya pengguna memerlukan bekalan kuasa 750 watt atau lebih jika menggunakan pemproses berkuasa tinggi.

Bagi pengalaman permainan pula, Metro: Exodus mencatatkan bacaan lebih 60 FPS bagi resolusi 4K manakala untuk resolusi 2K mencapai sekitar 80FPS.

KAD ‘gergasi’ untuk setiap permainan yang berada di pasaran pada masa kini.
KAD ‘gergasi’ untuk setiap permainan yang berada di pasaran pada masa kini.

Pengubahsuaian kesan grafik untuk judul berkenaan pula menggunakan semua tetapan pada tahap 'Ultra' serta keupayaan khusus untuk kad Nvidia seperti Ray Tracing dan DLSS ditetapkan pada tahap tertinggi.

Ujian untuk Assassin's Creed: Odyssey bagi resolusi 4K merekodkan bacaan 60FPS manakala untuk 2K sekitar 100FPS manakala untuk judul Shadow of Tomb Raider turut mencatatkan bacaan hampir sama.

Secara keseluruhannya untuk rekaan kad, Gigabyte bijak menggunakan tiga kipas terbalik untuk pengaliran udara memandangkan perkakas ini mempunyai prestasi optimum dan mengekalkan suhu pada tahap minimun baik untuk jangka hayat kad.

Aspek prestasi pula, tidak dapat dinafikan bahawa Gigabyte Gaming OC RTX 3090 bukan saja sesuai untuk kelas permainan dengan resolusi tinggi sebaliknya sangat sesuai untuk penyedia kandungan melakukan sintesis video serta animasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 6:31 AM