Samsung mungkin tidak menyertakan pengecas dan fon telinga untuk peranti akan datang
Samsung mungkin tidak menyertakan pengecas dan fon telinga untuk peranti akan datang
Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Seperti sudah dijangka, jenama utama pengeluar telefon pintar mungkin mengikuti penanda aras yang dibuat oleh Apple dan perkara itu dibuktikan dengan beberapa perubahan yang lalu.

  Beberapa tahun lalu, Samsung pernah menyindir Apple apabila peranti mereka tidak lagi menyertakan bicu audio 3.5mm sebelum langkah itu diikuti oleh Samsung tidak lama selepas itu.

  Terbaru, Samsung 'menempelak' Apple apabila peranti baharu syarikat itu, barisan iPhone 12 tidak lagi menyertakan pengecas dan fon telinga namun langkah itu umpama akan dilaksanakan oleh Samsung.

  Berdasarkan satu laporan portal teknologi, Samsung sedang mempertimbangkan untuk tidak menyertakan pengecas serta fon telinga untuk peranti mercu akan datang iaitu Galaxy S21 atau Galaxy S30.

  Samsung dijangka hanya akan menyertakan kabel saja dan pengecas serta fon telinga dijual secara berasingan.

  Ia juga umpama 'sumpahan' apabila setiap langkah baharu yang dibuat oleh Apple akan diikuti oleh jenama lain maka tidak hairanlah Apple dikategorikan sebagai 'pengubah trend' semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 10:44 PM