X
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pengguna produk jenama perkakasan permainan terkemuka, MSI tidak perlu bimbang berhubung pelancaran cip terbaharu keluaran AMD iaitu siri Ryzen 5000 memandangkan papan induk siri 500 dan 400 akan menyokong pemproses kelas baharu itu.

  MSI sudah melancarkan Rekaan Perisian Terkapsul Generik (AGESA) bagi versi PI V2 1.1.0.0 untuk semua siri papan induk kelas X570 dan B550 bagi menawarkan kuasa prestasi lebih baik.

  AMD juga sudah mengumumkan akan mengemas kini Sistem Asas Input Output (BIOS) bagi beberapa papan induk siri 400 terpilih yang menyokong cip pemproses Ryzen 5000.

  Pada masa sama, MSI mengumumkan bahawa semua papan induk siri 400 termasuk X470 dan B450 versi Max serta bukan Max akan menerima kemas kini BIOS itu.

  Pengguna yang mahu maklumat lanjut berhubung status kemas kini BIOS berkenaan boleh melayari laman web rasmi, msi.com.

  Bagaimanapun, untuk papan induk siri 300 termasuk X370, B350 dan A320 tidak menyokong pemproses baharu berkenaan seperti yang diumumkan oleh AMD.

  Namun, jika pengeluar pemproses berkenaan menawarkan kemas kini sokongan, MSI akan memaklumkan kepada semua pengguna sesuai dengan keperluan semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 10:43 PM