Muhammad Saufi Hassan

Penyedia rangkaian telekomunikasi terkemuka, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkenalkan laman web dan aplikasi MyDigi yang ditambah baik serta ciri keupayaan akses khusus untuk perkhidmatan kepada komuniti kurang upaya penglihatan.

Ia dibuat sempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia 2020 dan syarikat itu menambahbaik ciri keupayaan untuk laman web serta aplikasi supaya lebih ramai orang kurang upaya (OKU) mendapat manfaatnya.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, penambahbaikan keupayaan akses terhadap titik sentuh digital syarikat berpandukan piawaian antarabangsa dalam keupayaan akses dengan memberi tumpuan kepada empat cabaran yang berkaitan dengan masalah penglihatan iaitu buta, penglihatan terhad, rabun warna dan disleksia. 

"Dunia kini bergantung pada Internet dan ini menjadi semakin ketara semasa pandemik melanda. 

"Situasi ini juga memperlihatkan perbezaan antara mereka yang ada serta yang tiada akses mudah terhadap aktiviti dalam talian. 

"Kami percaya, kebersamaan adalah hak asasi manusia dan oleh itu kami berusaha mengurangkan halangan dalam mengakses titik sentuh digital kami," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Menurutnya, usaha ini berpotensi memperkasakan rakyat negara ini yang kurang upaya dengan menyuntik semangat berdikari dalam menguruskan keperluan mereka sendiri, di samping menghubungkan mereka dengan peluang sosio-ekonomi yang lebih banyak.

Sebelum ini, Digi melancarkan beberapa inisiatif lain sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk meningkatkan akses bagi komuniti yang kurang diberi perhatian, termasuklah Yellow Heart Privileges yang memberikan rebat RM10 setiap bulan seumur hidup untuk pelan sambungan yang disediakan untuk komuniti kurang upaya dan warga emas serta kemudahan akses yang ditambahbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:45 PM