Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Aplikasi pesanan terkod, Telegram menyatakan bahawa platform berkenaan sudah mempunyai 500 juta pengguna aktif sepanjang masa.

  Dalam tempoh 72 jam lalu, aplikasi berkenaan merekodkan peningkatan paling drastik apabila mempunyai 25 juta pengguna baharu sepanjang tempoh berkenaan.

  Peningkatan itu antara lain 'disumbangkan' oleh pengguna yang mungkin beralih daripada WhatsApp apabila aplikasi berkenaan memperkenalkan dasar privasi baharu.

  Pembangun aplikasi berkenaan, Pavel Durov berkata, jumlah pengguna baru paling banyak direkodkan dari Asia dengan 38 peratus, Eropah sebanyak 27 peratus, Amerika Latin (21 peratus), Timur Tengah (8 peratus) dan beberapa rantau lain.

  "Ia adalah peningkatan paling signifikan dibandingkan dengan tempoh lain dan ia antara perkembangan terbaik untuk platform ini," katanya.

  Sebelum ini, pengguna WhatsApp dikatakan beralih kepada aplikasi lain apabila platform berkenaan dilaporkan menukar dasar privasi dengan membolehkan data peribadi direkodkan.

  Perkara berkenaan sudah dinafikan oleh WhatsApp dan kini pengendali aplikasi berkenaan sedang melaksanakan penerangan secara besar- besaran apabila melihat penurunan pengguna untuk aplikasi terbabit.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:17 PM