TIDAK mudah patah semangat.
KELUARGA menjadi tulang belakang kejayaannya.
MUHD Hilmi antara usahawan muda yang mengecapi kejayaan hasil usaha sendiri.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Berkarisma, mudah mesra selain tidak mudah berputus asa melengkapkan pakejnya sebagai seorang usahawan berjaya dengan sentiasa memegang prinsip tidak mengapa sekiranya gagal kerana setiap individu itu mempunyai peluang kedua untuk mencuba.

Prinsip itu sentiasa dijadikan pegangan dalam setiap perkara dilakukan terutama membabitkan perniagaan supaya dia berada pada landasan yang tepat.

Mengakui tidak mudah patah semangat, anak kelahiran Kelantan ini boleh dianggap antara ikon usahawan berjaya kerana pada usia belum mencapai 30 tahun dia sudah mengecapi semua yang diimpikan.

Namanya memang terkenal, tetapi Muhd Hilmi Che Azman atau lebih dikenali sebagai El Azman, 29, tetap merendah diri kerana sasarannya masih jauh - dia memasang pelbagai impian untuk terus berjaya dengan cemerlang dalam bidang diceburi.

“Dalam kehidupan juga perniagaan, kita mempunyai pilihan dan pastikan setiap yang dilakukan itu adalah untuk diri sendiri bukan atas desakan sesiapa. Perkara paling penting adalah percaya dan yakin dengan diri sendiri. Pada masa sama perlu pasang niat dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapainya mengikut landasan dibenarkan agama,” katanya.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang perniagaan, Muhd Hilmi yang turut aktif di laman sosial Facebook juga Instagram (IG) berkata, segalanya bermula ketika dia menunaikan ibadat umrah pada 2014.

“Saya tertarik dengan cara pemakaian lelaki Arab yang mengenakan jubah kemas dan terletak di badan. Bermula daripada itu tercetus idea untuk saya menghasilkan jubah lelaki yang kelihatan menarik dan kemas.

“Sebaik pulang ke tanah air, saya mula mengorak langkah untuk merealisasikan impian itu dengan menghasilkan beberapa rekaan busana lelaki antaranya jubah, kurta dan baju Melayu atas jenama Elrah Exclusive,” ujarnya.

Menurutnya, selain fokus pada perniagaan, dia sentiasa mengamalkan sikap ceria dan mudah mesra dengan sesiapa saja. Sifat semula jadinya itu ternyata banyak membantunya dalam perniagaan.

“Untuk berjaya dalam perniagaan, kita tidak boleh sombong kerana setiap hari kita perlu belajar banyak perkara baru daripada orang sekeliling terutama usahawan hebat. Sikap sombong dalam berguru ini akan menghilangkan keberkatan ilmu dan akhirnya apa yang kita pelajari itu tidak dapat diamalkan.

“Selain tidak boleh sombong, saya juga mempraktikkan sikap rajin bertanya supaya tidak ‘syok sendiri’ terutama dalam penghasilan rekaan terbaru,” ujarnya yang mempunyai 181,000 pengikut di laman IG.

RAIH KEYAKINAN PELANGGAN

Muhd Hilmi berkata, sebagai usahawan, perkara paling mencabar adalah meraih keyakinan dan kepercayaan pelanggan untuk membeli produk keluarannya.

“Bukan mudah meyakinkan pelanggan untuk percaya dan terima setiap produk yang saya hasilkan. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan kepercayaan itu. Kalau kata produk kita bagus, ada produk lain yang lebih bagus. Jadi kita kena bijak dan kreatif supaya produk kita lebih menyerlah.

“Walaupun sukar, saya yakin pasti ada jalannya. Keyakinan inilah yang mendorong saya terus berusaha hari demi hari untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, dia juga sentiasa mengamalkan prinsip berpijak di bumi nyata dan tidak berbelanja berlebihan.

“Ramai peniaga terutama peniaga muda mahu hidup mewah kerana terikut-ikut gaya hidup usahawan lain yang sudah bertapak lama dalam bidang ini.

“Ukur baju di badan sendiri, walaupun mampu tidak salah untuk berjimat dan berpada-pada dalam perbelanjaan harian supaya kita tidak susah di kemudian hari,” ujarnya.

Kata Muhd Hilmi, dia juga amat bersyukur kerana dianugerahkan isteri yang memahami dan bersama-sama menguruskan perniagaannya.

“Isteri saya Nur Amirah Maulat Abdullah yang sentiasa berada di sisi membantu menguruskan hal ehwal perniagaan. Susah senang kami hadapi bersama dan dia juga antara kekuatan saya untuk terus berjaya dalam bidang ini selain anak tersayang dan seluruh ahli keluarga yang lain.

“Soal pembahagian masa juga agak mencabar. Sebagai usahawan, suami dan ayah yang sibuk menguruskan perniagaan, saya perlu bijak membahagikan masa sebaiknya supaya segalanya dalam keadaan terkawal,” katanya.

Muhd Hilmi yang kini menetap di Bandar Baru Bangi berkata, walau sebanyak mana pun tuntutan tugasnya dia tetap mengutamakan keluarga terutama anaknya Azkayra Malaiqa yang kini sedang membesar.

DUA MINGGU 50,000 JUBAH

Berjaya menjual jubah rekaannya melebihi 50,000 helai dalam tempoh dua minggu adalah antara pencapaian terbaiknya setakat ini. Selain itu, jumlah jualan sepanjang tahun lalu mencecah 15.7 juta dan itu antara detik paling bermakna yang melonjakkan namanya dan jenama Elrah Exclusive semakin dikenali ramai.

“Bukan berniat menunjuk-nunjuk namun pencapaian ini menjadikan saya lebih bersemangat berusaha untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Dalam pada itu, saya memasang impian mencapai sasaran jualan sejuta helai busana Elrah Exclusive dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Menurutnya, dia juga berharap mampu merealisasikan impian supaya setiap lelaki memiliki sekurang-kurangnya sehelai jubah Elrah Exclusive.

“Saya yakin koleksi kami dapat memenuhi setiap kehendak pelanggan dalam berfesyen yang mahukan busana selesa dan berkualiti tinggi.

“Untuk mencapai segala impian ini, saya sentiasa membuat penilaian semula bagi memperbaiki sebarang kekurangan busana kami. Malah kami juga mengambil berat semua aspek dan pandangan pelanggan supaya jenama ini akan lebih dikenali ramai,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 2:40 PM