BLANCHE mengembara seluruh dunia memperkenalkan jenama By Terry.
BLANCHE dalam bengkel solekan.
BLANCHE
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Jika ditanya cita-cita ketika kecil dulu, kerjaya jurusolek profesional mungkin tidak pernah terlintas oleh sesiapa pun sebaliknya doktor, guru, jurutera dan arkitek antara kerjaya impian popular yang mendahului senarai.

Sungguhpun begitu, kerjaya sebagai jurusolek juga tidak kurang hebatnya. Mana tidaknya, merekalah yang menjadi tulang belakang di sebalik sesebuah jenama kosmetik. Mereka jugalah bertanggungjawab dalam merubah imej dan rupa seseorang yang mendapatkan perkhidmatannya.

Kerjaya ini mungkin nampak mudah bagi sesetengah orang, tapi tidak ramai tahu, selain bakat seni, mereka juga perlu mendalami bidang ini dengan ilmu kerana tugas menyolek perlu mengikut kesesuaian wajah, personaliti dan warna serta konsep atau tema sesuatu majlis.

Menyelami hati jurusolek antarabangsa dari Paris, Garance Blanche membuka mata penulis terhadap bagaimana kerjaya ini sebenarnya mempunyai prospek besar untuk diceburi anak muda tempatan.

Malah, kerjaya ini juga membawanya mengembara ke seluruh pelosok dunia mewakili jenama kosmetik dari Perancis, By Terry.

Namun, siapa sangka Blanche yang bermula sebagai pelakon teater di tanah kelahirannya akhirnya memilih bidang solekan sebagai kerjaya malah mengakui pembabitannya juga secara tidak sengaja

“Tidak pernah saya bayangkan tugas sebagai pelakon itu rupanya membentuk profil kerjaya saya. Saya mengambil keputusan menyertai akademi kecantikan selepas menyedari bakat terpendam yang dimiliki.

“Bayangkan semasa latihan lakonan pentas, saya gemar menyolek diri sendiri dan rakan, lama-kelamaan ia mula sebati dalam diri dan mendapat kepuasan dengannya.

“Antara sebab membuatkan saya tergerak hati untuk fokus ke arah dunia solekan adalah kerana mengikut gerak hati dan percaya pada kurniaan bakat melukis saya.

“Semasa menyolek wajah seseorang, saya terasa seperti sedang melukis kerana sentiasa bermain dengan berus dan warna,” katanya.

Wanita berusia 28 tahun itu berbangga apabila dia kini menikmati kepuasan hidup dengan mempertaruhkan bakat dan sentuhan seni kreatif dalam dirinya.

Ikuti temu bual ringkas bersama Blanche mengenai kerjayanya sebagai jurusolek dan jurulatih solekan di syarikat kosmetik terkemuka Perancis, By Terry.

Soalan (S): Berapakah umur anda apabila mula obses dengan solekan?

Jawapan (J): Ia sebenarnya misteri, kerana pada mulanya saya tiada langsung asas dalam solekan. Saya bekerja di kedai kosmetik untuk membayar yuran pengajian diploma dalam bidang lakonan. Minat itu saya temui sendiri ketika berumur 20 tahun dan tidak berhenti sejak itu.

Sebelum ini saya bukanlah gadis yang gemar bersolek malah biasanya tidak mengenakan solekan. Kebetulan saya bekerja di kedai kosmetik, saya mempunyai perasaan ingin tahu mengenai alat solekan dan mencubanya.

S: Bilakah kerjaya profesional anda bermula?

J: Selepas tamat pengajian, iaitu pada usia 24 tahun saya mulakan karier sebagai jurusolek profesional. Sebelum itu di sekolah teater dan lakonan, saya juga berlakon teater. Namun saya sedar di Perancis, bidang ini agak rumit. Saya sebenarnya lebih suka menyolek pelakon lain.

Kerana minat yang mula bercambah, saya kembali menyertai institusi berkaitan kosmetik untuk mendapatkan sijil dan diploma dalam bidang kecantikan kerana saya ada pengalaman bekerja di kedai kosmetik.

Pengalaman kerja lalu memudahkan saya bercakap dengan pelanggan dan memiliki sijil dalam bidang kosmetik mengukuh­kan lagi perjalanan kerjaya saya sejak tiga tahun lalu.

S: Nasihat anda kepada jurusolek muda yang menceburi bidang ini.

J: Berseronok, sering bertanya, cuba solek rakan terdekat, diri sendiri dan pelbagai jenis kulit kerana anda akan mendapat lebih pengalaman dengan bermain (solekan) terhadap orang yang berbeza. Selain itu, berkongsi ilmu dan dengar pendapat orang lain.

Saya belajar setiap hari dengan orang sekeliling saya dan terima kasih kepada kumpulan By Terry, kami bagai satu keluarga yang menyokong satu sama lain. Buka minda anda terhadap dunia solekan sebab anda akan berjumpa dengan ramai orang yang memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing.

S: Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang kerjaya anda?

J: Bagi saya, setiap hari adalah cabaran kerana kita tidak tahu kita akan berdepan dengan siapa. Seperti baru-baru ini saya mengetuai tiga bengkel solekan. Setiap sesi saya perlu berdepan dengan lapan orang yang berbeza karakter. Saya perlu berfikir cara untuk membuatkan setiap orang suka dengan perubahan rupa atau solekan yang saya lakukan pada mereka.

Oleh itu, cabarannya adalah untuk membuat setiap ‘model’ dalam bengkel itu menerima hakikat yang warna atau bahan solekan yang kita gunakan adalah sangat sesuai dengan mereka.

Contohnya, gincu yang saya oleskan, saya pilih untuk mereka. Saya katakan saya yang buat pilihan warna. Ada yang menolak pilihan warna itu sebab tidak biasa, tetapi saya berkeras kerana mahu mereka mencuba dan melihat diri sendiri pada cermin. Mereka perlu yakin diri, benarkan diri mencuba sesuatu yang baru dan melihatnya dengan positif. Itulah cabaran yang sering saya hadapi untuk membuatkan orang rasa yakin dan menerima sesuatu pilihan di luar kebiasaan.

S: Apa yang paling menggembirakan anda mengenai solekan?

J: Untuk melihat wanita tersenyum selepas disolek. Bagi saya kerjaya ini amat ‘pemurah’, seperti kita cuba menjual impian konkrit kerana setiap orang ada kualiti dan kecantikan tersendiri. Kami di sini hanya menambah baik setiap kualiti ini dan pada akhirnya mereka gembira melihat perubahan diri kerana tidak pernah terfikir mereka boleh jadi sebegitu rupa. Inilah kepuasan sebenar untuk seorang jurusolek.

S: Apakah tiga alat solekan penting yang wanita perlu ada?

J: Pelembap. Ia adalah bahan penting yang patut ada pada setiap wanita untuk mengekalkan kelembapan kulit sebelum memakai solekan. Selain itu maskara dan gincu kerana ia dua bahan yang menaikkan seri wajah melalui bibir dan mata yang dirias indah. Cara anda melihat dan senyum itu yang perlu anda tambah baik menerusi solekan.

S: Apakah nasihat kecantikan yang paling penting buat wanita?

J: Bangga dengan diri sendiri dan terima segala kekurangan sebagai satu kelebihan untuk anda memperbaiki diri.

Kecantikan sebenar adalah bagaimana anda menjadi diri sendiri dan memberi inspirasi kepada orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:48 PM