RAWATAN wajah sering menjadi pilihan pengunjung.
RUANG selesa dan privasi kepada pengunjung.
RUANG selesa dan privasi kepada pengunjung.
AHMAD Adli bersama produk penjagaan wajah jenama sendiri.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Bukan semua lelaki mengambil berat mengenai kesihatan kulit wajah dan badan mereka. Malah, ada kalanya mencuci wajah menggunakan pembersih sesuai juga tidak tersenarai dalam perkara penting dalam kamus hidup mereka apatah lagi untuk memanjakan diri di spa kecantikan.

Kini, semua itu sudah berubah dan sesetengah generasi muda masa kini yang tinggal di bandar serta mementingkan penampilan sangat menitikberatkan aspek kecantikan kulit.

Memahami kehendak jejaka yang semakin sedar mengenai kecantikan kulit mereka, spa kecantikan Menschen di Seksyen 9, Shah Alam dibuka pada April lalu.

Pengurus Menschen Skincare, Ahmad Adli Mohammad berkata, selepas setahun beroperasi di kediamannya, dia mengambil keputusan membuka spa berkenaan kepada lelaki yang mahu mendapatkan rawatan wajah.

“Bagi rawatan wajah, kami menggunakan rangkaian produk sendiri, Glo Up berdasarkan masalah kulit yang dihadapi pelanggan. Kami mencuci wajah menggunakan sabun arang dan kolagen bagi membantu merawat masalah jerawat, jeragat, kegatalan serta mencerahkan pigmentasi kulit.

“Kemudian, krim siang atau krim malam akan disapu pada wajah bergantung kepada waktu pelanggan berkunjung ke spa kami bagi membantu memberi kesan pencerahan dan memperbaiki tekstur kulit.

“Serum yang mengandungi esktrak biji anggur dan vitamin C, E dan F pula disapu pada wajah bagi membantu melindungi, mengurangkan kedutan serta meratakan ton kulit,” katanya.

Pada masa sama, bergantung kepada masalah kulit dihadapi rawatan berkenaan turut menggunakan mesin ultra bunyi khas yang membantu menegangkan, mengurangkan kedutan dan menanggalkan sel kulit mati pada wajah.

Spa yang dibuka khas untuk lelaki saja itu beroperasi setiap Selasa hingga Ahad bermula jam 10 pagi hingga 8.30 malam, turut menyediakan rawatan skrub badan, mandi wap atau bekam.

Selain spa, jenama berkenaan turut memiliki produk set penjagaan wajah yang sesuai dipakai oleh lelaki dan wanita yang boleh didapati di kedai jamu, stokis atau melalui pengedar jenamanya secara dalam talian.

“Bukan saja perempuan, lelaki juga perlu menjaga kecantikan dan kesihatan kulit wajah kerana ia mampu mempengaruhi tahap keyakinan diri seseorang di samping melengkapkan penampilan.

“Selain itu, bagi mendapatkan wajah yang segar dan kulit yang sihat, pastikan tidur mencukupi serta elakkan stres. Saya sendiri turut mengamalkan petua untuk memberi perlindungan berganda kepada kulit.

“Biasanya, saya akan mencuci muka menggunakan campuran air sejuk pada waktu pagi dan rajin menyapu madu pada wajah setiap malam untuk membantu memudarkan parut, mengecilkan jerawat dan melembapkan kulit,” katanya.

Spa yang dihias dengan dekorasi moden itu banyak menonjolkan rona kuning bagi memberi kesegaran kepada pengunjung di samping ruang yang luas untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:00 AM