AKMAL Hafiz
AKMAL Hafiz ketika mengajar cara menulis khat kepada pelajar TUFS.
AKMAL Hafiz turut menjadikan kemahirannya untuk menjana pendapatan sampingan.
ANTARA karya Akmal Hafiz.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah juga dengan bakat dimiliki, jika tidak dipupuk dengan lebih awal dan berusaha keras mendalami ilmu berkaitan, pasti ia hanya sia-sia.

Berbanding individu yang rajin dan mempunyai minat dalam sesuatu kemahiran, mereka pasti berusaha bersungguh-sungguh, sekali gus tidak jemu mencari jalan untuk mengasah bakat dimiliki.

Bagi pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Akmal Hafiz Jamhari, walaupun menyambung pengajian di bidang berbeza, minatnya dalam bidang penulisan khat sejak di bangku sekolah diteruskan hingga ke hari ini.

Menariknya, melalui hobi menulis khat itu, anak ketiga daripada lima beradik yang baru berusia 22 tahun ini mampu menjana pendapatan sampingan biarpun masih bergelar siswa.

Malah dia juga diberi peluang oleh Pengajar Tulisan Jawi dan Khat di Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) UTHM Nurulisyazila Othaman bagi mengembangkan bakat serta ilmu khat kepada masyarakat di Jepun dengan menyertai program mobiliti ‘Jerayawara Melayu UTHM-TUFS-CHOFU’.

Program berkenaan dianjurkan oleh PPUK yang diketuai Dr Khairunesa Isa dan dibantu dua pengiring dan salah seorangnya bertindak sebagai jurubahasa Jepun iaitu Ketua Jabatan Pusat Pengajian Bahasa Rosmahalil Azrol Abdullah.

Ikuti temu bual antara penulis dan Akmal Hafiz yang sudi berkongsi pengalamannya mengikuti program berkenaan dan usahanya dalam menaikkan martabat seni khat.

S: Sejak bila mempelajari mengenai khat?

J: Saya mula menulis khat pada usia 10 tahun dan sejak itu banyak berlatih. Hingga ke hari ini, saya tidak jemu belajar menulis khat.

Namun, saya tidak pernah menyertai mana-mana kelas khat secara formal dan lebih banyak belajar sendiri melalui tutorial di Internet. Saya mula serius menulis khat sejak tingkatan satu. Ia bermula apabila saya diupah untuk membuat tulisan khat di kain rentang terutama pada majlis sambutan Maulidur Rasul.

Alhamdulillah, saya dikurniakan bakat menulis tulisan khat dan mahir menghasilkan beberapa jenis khat seperti Thuluth, Nasakh, Riq’ah serta Kufi.

S: Pendapat anda mengenai penulisan khat dalam kalangan generasi muda?

J: Pada pendapat saya, sekarang ini tidak ramai yang mahir menulis khat terutama dalam kalangan belia. Bakat ini bukan mudah untuk dipelajari. Hanya individu yang benar-benar mahir saja yang dapat menulisnya dengan baik dan kemas. Jika minat, mahirkan diri dengan kerap melakukan latihan agar hasilnya berubah lebih baik dari semasa ke semasa.

Bakat yang ada itu juga perlu digunakan sebaik-baiknya. Bagi saya kemahiran menulis khat boleh membantu menjana pendapatan dengan mengambil upah dan tempahan di sekolah atau dibingkaikan sebagai perhiasan.

S: Selain dijadikan sebagai sumber menjana pendapatan, pernahkah anda menyertai pertandingan penulisan khat?

J: Saya pernah menyertai beberapa pertandingan penulisan khat di peringkat sekolah dan terbuka. Antaranya, Pertandingan Khat Peringkat Sekolah Menengah 2010; Pertandingan Khat Peringkat Politeknik 2015 dan Pertandingan Khat terbuka negeri Johor. Pada masa sama, saya masih aktif dengan melakukan aktiviti penulisan khat terutamanya jika ia boleh menjana pendapatan. Misalnya, menjual cenderahati karya khat (ayat al-Quran), penanda buku dan sepanduk kain rentang.

S: Pendapat anda, apakah yang boleh dilakukan untuk membantu menaikkan seni khat ini?

J: Bagi membantu menarik minat orang awam terutama belia, mungkin boleh memperbanyakkan pertandingan khat, mengadakan bengkel di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Secara tidak langsung, aktiviti seumpama ini membantu memperkenalkan seni khat sekali gus dapat menarik minat golongan muda untuk mencuba.

S: Kongsikan pengalaman anda berada di Jepun, baru-baru ini?

J: Saya berpeluang berkongsi kemahiran khat bersama kira-kira 20 pelajar jurusan Bahasa Melayu di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS).

Antara aktiviti yang dilakukan di sana adalah penulisan khat, debat Melayu dan cara bermain kompang. Saya dapat lihat, mereka sangat kagum dengan hasil seni khat ketika saya membuat demonstrasi.

Sememangnya, kaedahnya agak berbeza dengan seni kaligrafi tradisional Jepun. Kebanyakan pelajar itu baru saja belajar Bahasa Melayu. Namun, mereka tetap diajar mengenai tulisan jawi dan ia sedikit sebanyak memudahkan untuk mengajar asas tulisan khat.

Semasa berada di Jepun, saya sempat singgah di beberapa masjid terkenal seperti Masjid Kobe (Osaka) dan Masjid Tokyo (Tokyo) serta meneliti beberapa ciri hiasan yang menggunakan tulisan khat terutama khat Thuluth.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:01 AM