ALISYA.
ALISYA bekerja keras menggapai kejayaan diimpikan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Usianya masih muda, namun cukup bersemangat dan bercita-cita besar menjadi penari berkaliber serta berpendidikan tinggi. Justeru, tidak hairanlah atas keazaman dan usaha yang tidak kenal erti putus asa, Alisya Razman Adam, 21, terpilih menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Tarian) di Tisch School of the Arts, New York University (NYU) setahun lalu.

Lebih membanggakan, Alisya anak Malaysia pertama yang berjaya melayakkan diri mengikuti pengajian tarian di sana sebagai pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pulang bercuti semester selama lebih sebulan, penulis mengambil kesempatan bertemu dan menemu ramah Alisya, seorang daripada 30 pelajar yang layak mengambil jurusan itu di universiti berkenaan bagi berkongsi pengalamannya.

Tekad menari

Barisan nama dalam alumni jurusan tarian di universiti berkenaan seperti Angelina Jolie, Lady Gaga, Martin Scorsese, Peter Fonda, Adam Sandler, Billy Crystal dan ramai lagi selebriti ternama membuatkan Alisya benar-benar tekad serta gigih berusaha untuk mendapatkan tempat menyambung pengajian di sana.

Namun, dia sedar perlu lebih berusaha untuk mencapai kejayaan sama seperti idolanya iaitu selebriti terkenal, Bobbi Jene Smith yang juga penari hebat.

“Ketika berusia 13 tahun, saya sertai uji bakat persembahan balet dengan syarikat tarian dari Jepun sekali gus membuka mata dan berazam untuk ke NYU.

“Kemudian, setahun selepas itu saya sertai pertandingan tarian, Short+Sweet Dance Malaysia di Kuala Lumpur Performing Arts (KLPac) secara berkumpulan dan mendapat Director’s Award kategori individu.

“Saya juga pernah dinobatkan sebagai penari perempuan terbaik dalam pertandingan sama setahun selepas itu,” katanya.

Pada usia 16 tahun, Alisya terpilih menyertai pasukan Malaysia ke pertandingan tarian, World Championship of Performing Arts di Los Angeles. Pada 2012, Alisya berjaya mendapat tajaan kategori bawah 16 tahun untuk ke institusi tarian, Millenium Dance Complex, Los Angeles bagi mengikuti pelbagai jenis tarian selama tiga bulan secara percuma.

Malah, dua tahun selepas itu dia juga mewakili Malaysia mengadakan persembahan solo, menjadi penari dan koreografer di Andong Mask Dance Festival Korea.

Alisya, cucu saudara seniman Allahyarham Datuk Sudirman Arshad ini dilahirkan di Richmond Virginia, Amerika Syarikat, ketika kecilnya dulu pernah dihantar ke kelas tarian balet.

Namun, dia berhenti kerana tidak menyukai kelas berkenaan. Pada usia empat tahun, keyakinan dirinya juga kecil dan dia sering menangis kerana berasa malu.

Pada usia sembilan tahun dia sekali lagi dihantar ke kelas tarian balet, apabila mengikut ibu bapanya berhijrah ke Kanada dan mendapati sangat menyukainya kerana mempunyai rakan yang disenanginya.

Sejak itu, dia meneruskan pembelajaran dalam tarian dan menyertai pelbagai aktiviti, persembahan serta pertandingan tarian selepas pulang ke tanah air.

Bukan semudah yang disangka, di sebalik kejayaannya itu sebenarnya pelbagai kaji selidik dan usaha yang dilakukan sendiri sejak di bangku sekolah lagi untuk memastikan namanya diterima sebagai pelajar di NYU.

“Sebelum saya dapat menyambung pengajian dalam bidang tarian ini, saya perlu memastikan keputusan akademik turut cemerlang. Bagi memastikan impian ini tercapai, saya perlu habiskan dulu pendidikan taraf A-Level dalam Ekonomi dan memastikan keputusan peperiksaan memenuhi purata nilai gred kumulatif (CGPA) yang ditetapkan untuk terus mendapat biasiswa JPA.

“Pada masa sama, ketika masih belajar lagi, saya hantar video uji bakat, penyata peribadi atau portfolio dan tidak ketinggalan juga berkunjung ke NYU untuk berjumpa dekan serta pensyarah di sana bersama ibu bapa.

“Saya mahu tunjukkan usaha dan kesungguhan kepada mereka yang saya benar-benar mahu memasuki universiti berkenaan untuk belajar tarian,” katanya.

Jelasnya, dia sangat bertuah dan bersyukur kerana ibu bapanya sangat menyokong minatnya yang mendalam dalam tarian. Anak bongsu daripada dua beradik yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan pencapaian 9A ini berkata, dia harus belajar bersungguh-sungguh kerana sedar pengorbanan ibu bapanya yang masih belum berbalas dan tanggungjawabnya sebagai pemegang biasiswa serta penari.

Kuat belajar, berlatih

“Kekuatan saya adalah dalam tarian kontemporari. Apabila saya lihat kembali video tarian sendiri masa lalu, saya hanya mampu tersenyum kerana banyak kekurangan dan boleh buat lebih baik daripada itu.

“Menari memerlukan tenaga dan bagi memastikan saya sering bertenaga, faktor kesihatan serta pemakanan perlu diambil perhatian. Selain itu, saya juga seorang yang kuat belajar dan berlatih tarian. Biasanya ketika di universiti, saya berlatih menari hingga enam jam sehari.

“Pada masa sama, saya perlu pastikan subjek lain juga cemerlang dan ada kalanya mengulang kaji pelajaran hingga lewat malam. Selain tarian, saya juga belajar subjek perfileman, rekaan web, menyanyi dan teater.

“Pembahagian masa dan jadual sangat penting serta perlu tersusun. Setiap hari saya ke gimnasium dan berjoging untuk memastikan badan sentiasa bertenaga serta sihat,” katanya.

Selain menari, dia juga ada satu hobi, iaitu makan! Makanan kegemarannya tentulah masakan ibu, sambal ayam. Selain itu, dia juga sangat menyukai cendol, durian dan gula merah (yang akan dicampur ke dalam menu digemari).

Oleh itu, dia perlu menjaga dietnya agar seimbang dan pada masa sama tidak tertekan dengan diet yang diamalkan. Baginya, bentuk badan bukan keutamaan sebaliknya ia mesti dilengkapi dengan tenaga dan bakat yang ada.

Malah, dia juga harus memastikan dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun ada kalanya tidak dapat mengelak ia berlaku. Walaupun boleh dikatakan sebahagian besar kehidupannya dihabiskan di luar, setiap kali berjauhan daripada ibu, Alisya mengakui sangat rindukan masakannya.

Namun, dia perlu bersabar kerana tanggungjawab dan impiannya masih belum terlaksana. Ada kalanya perasaan ingin kembali ke Malaysia dan bersama keluarga begitu kuat tapi dia menepis dengan mengingatkan kembali matlamat utamanya menyambung pengajian jauh hingga ke luar negara.

“Saya suka berdikari dan apabila berjauhan daripada keluarga banyak perkara yang dipelajari. Di sini saya dapat belajar mengenai nilai yang ada pada diri sendiri sekali gus membuka mata bahawa bidang ini mempunyai potensi tersendiri dan perlu ada pelapis.

“Berbanding di tanah air, bidang ini masih kurang diberi perhatian dan tidak banyak sumber, sokongan dan dana. Sokongan orang awam juga masih rendah berbanding hiburan lain seperti nyanyian.

“Bagi saya, bidang seni ini sangat penting untuk mencipta pemikiran kreatif dan set minda yang baik selain dapat menyatukan komuniti,” katanya.

Oleh itu, dia sangat berharap dapat mengubah tanggapan mengenai bidang tarian yang dilabel tidak mempunyai masa depan dengan mengutip sebanyak yang boleh pengalaman dan ilmu untuk dibawa pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:02 AM