NAJIHAH tekun melakukan hobinya.
MELAKUKAN solekan wajah pelik dan seram menjadi hobi anak kelahiran Taiping ini.
ANTARA solekan dilakukan Najihah pada waktu lapang.
ANTARA hasil solekan Najihah.
NAJIHAH gembira dengan hobinya.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk melegakan tekanan sama ada di tempat kerja mahupun di rumah, sekali gus dapat mengembalikan aura positif dalam diri dan individu sekeliling.

Hobi atau minat setiap individu itu berbeza, ada yang gemar memasak, ada pula yang gemar membaca, melancong dan ada yang suka mengumpul pelbagai barangan kegemaran.

Tidak kira apa juga jenis hobi yang digemari, pastinya ia mampu memberikan kegembiraan kepada diri tatkala menghabiskan masa terluang dengan melakukan aktiviti itu.

Bagi anak kelahiran Taiping, Perak, Najihah Mat Zin, 29, yang mempunyai hobi membuat solekan pelik, hobinya itu dapat menghilangkan tekanan dialaminya, sekali gus mencabar kemampuan diri.

Menurutnya, dia begitu teruja dan seronok setiap kali melakukan hobinya itu yang bukan saja dilakukan sekadar suka-suka namun dalam masa sama memaksa dirinya untuk sentiasa mencari solekan lain daripada yang lain.

“Saya mula aktif dengan hobi ini sejak 2012 lagi sebelum saya berhenti seketika dalam beberapa tahun dan kini kembali aktif sejak hujung tahun lalu.

“Antara solekan pelik yang saya lakukan adalah solekan berunsurkan flora dan fauna, solekan makhluk asing, solekan wajah seram, solekan wajah seolah-olah terbakar dan solekan wajah orang tua,” katanya.

Najihah berkata, hari demi hari dia akan memperbaiki kemahiran solekannya dan menjadikan hobinya itu sebagai medan untuknya mengembangkan bakat yang dianugerahkan.

“Saya gemar menyolek, namun untuk mencari kelainan saya banyak melakukan solekan pelik bagi mengasah bakat dan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

“Saya akan menghabiskan masa terluang yang ada dengan melakukan solekan ini, kebiasaannya saya akan melakukan solekan pelik keatas wajah saya sendiri, suami dan anak saudara,” ujarnya.

Najihah yang berkhidmat sebagai penolong jurutera berkata, sehingga kini dia berjaya melakukan sembilan jenis solekan pelik atas usahanya sendiri.

“Hobi ini amat menyeronokkan, selain dapat menghilangkan tekanan di tempat kerja, saya juga dapat menjana pendapatan sampingan apabila ada beberapa jurugambar bebas yang menawarkan saya melakukan solekan pelik untuk dijadikan sebagai koleksi foto mereka.

“Saya juga tidak menyangka ramai individu menyukai hasil solekan saya yang menyebabkan perlu terus komited dan berusaha untuk menghasilkan solekan yang lebih memukau dan luar biasa,” katanya.

Kata Najihah, selain melakukan solekan mengikut tema, dia turut menghasilkan solekan untuk majlis perkahwinan dan yang berkaitan kecantikan.

“Suami banyak memberi dorongan kepada saya untuk menghasilkan solekan wajah pelik ini. Dia tahu ini adalah hobi saya dan dia sentiasa beri sokongan dan sering membantu saya sekiranya memerlukan sebarang pertolongan.

“Saya amat berharap hobi saya ini semakin berkembang dan dikenali ramai serta membuatkan kemahiran menyolek saya semakin baik,” katanya.

Menurutnya, setiap individu itu mempunyai hobi serta minat tersendiri yang dapat membuatkan hati berasa gembira dan tenang setiap kali melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 4:21 PM