MARLINA bersama koleksi anak patung dan bantal comel yang dihasilkannya.
MENJAHIT apabila anak berada di sekolah.
MENGGUNAKAN fabrik kapas untuk kedua-dua patung haiwan.
MENGGUNAKAN fabrik kapas untuk kedua-dua patung haiwan.
BANTAL berbentuk tiara bersama zirafah comel.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Suatu ketika dulu dia pernah beranggapan ‘bermain’ dengan mesin jahit, jarum dan benang adalah sesuatu yang sukar dan perlu dipelajari dengan mengambil kelas jahitan secara formal. Namun tanggapan ini meleset sebaik saja melahirkan anak pertama, Aidan Basil Muhammad Khair. Tanpa dorongan sesiapa, Marlina Manja Mohd Ali, 35, mula melayari YouTube dan melihat laman sosial luar negara yang menyediakan pakaian si comel dalam pelbagai rekaan.

“Saya sangat teruja setiap kali melihat si kecil beraksi manja dengan blaus, legging dan seluar bermacam corak yang dijahit sendiri, persepsi saya mulai berubah. Menjahit bukanlah sesuatu yang sukar. Malah aneka padanan boleh dihasilkan mengikut cita rasa sendiri,” katanya yang menetap di Puchong, Selangor.

Bermula dari situ dia mula membeli mesin jahit dan melayari YouTube untuk melihat teknik jahitan pakaian kanak-kanak. Fabrik pula diambil daripada kain lebihan yang ada di rumah supaya tidak membazir.

Jahitan pertama adalah baju untuk Aidan. Memang mulanya agak tidak ‘terurus’, senget dan kurang kemas.

“Jadi saya perbetulkan semula apa yang kurang. Buka semua jahitan dan cantum semula. Walau terpaksa melakukan dua hingga tiga kali pengubahsuaian namun ia tidak memenatkan. Wujud semacam kepuasan apabila dapat menghasilkan pakaian untuk Aidan. Bayangkanlah ‘si tangan bangku’ yang dulunya tidak suka menjahit namun dapat menyiapkan sepasang baju yang tidaklah sempurna mana namun cukup membuatkan saya rasa bangga,” katanya tersenyum.

Sedikit demi sedikit Marlina menambah kemahiran, dengan menjadikan laman sesawang luar negara sebagai rujukan. Dia semakin mahir menjahit blaus, legging dan pakaian harian untuk anak kedua, Aishah Khalila yang kini berusia lima tahun. Baru Marlina sedar kemahiran menjahit yang dimilikinya sangat menguntungkan kerana dia tidak perlu mengeluarkan duit membeli baju raya pada musim perayaan.

Pelbagaikan rekaan

Menunggu kelahiran anak ketiga, Anaz Ziqry, Marlina sangat teruja menyediakan barang keperluan bayi termasuk tilam, bantal dan pakaian sendiri. Pada masa sama timbul idea menjahit bantal comel dan anak patung berbentuk haiwan.

“Saya tertarik dengan koleksi permainan berbentuk haiwan selepas melayari YouTube. Saya cuba mempelajarinya, peringkat permulaan saya menjahit anak patung zirafah dan gajah tertera nama anak-anak dengan gabungan fabrik pelbagai warna. Lebih menyeronokkan tatkala melihat anak bermain dengan patung yang saya hasilkan. Ini membuatkan saya mula mencari idea lain dengan rekaan berbeza,” katanya.

Selepas memuat naik di laman Facebook dan Instagram, tidak sangka kawan mula membuat tempahan. Pencetus kepada perniagaan dalam bidang ini apabila anak ketiga jatuh sakit dan memerlukan perhatian rapi.

Selepas berbincang dengan suami Marlina mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberikan tumpuan kepada keluarga pada masa sama dia mengambil tempahan bantal dan patung permainan si comel.

“Saya mula membuat pemasaran menerusi Instagram. Kebanyakan tempahan daripada ibu yang baru menerima cahaya mata. Ada yang diberikan kepada anak sendiri ada juga dijadikan hadiah untuk anak kenalan,” katanya yang menggalakkan pelanggan membuat tempahan sekurang-kurangnya dua minggu awal bagi membolehkan Marlina menyiapkan produk mengikut waktunya.

Jelas Marlina lagi, keistimewaan anak patung dan bantal ini adalah pada bentuknya yang comel. Untuk fabrik dia menggunakan kapas Inggeris, kapas Jepun dan minky kerana sesuai untuk keselesaan dan kesihatan bayi. Untuk bahagian dalam pula Marlina menggunakan mikrogentian kerana lebih ringan dan mudah dibasuh.

“Berbeza dengan kekabu walaupun lebih lembut tetapi ia cepat berbulu dan tidak boleh dibersihkan. Semua patung permainan dan bantal boleh dijahit nama serta mengikut rona kesukaan pelanggan.

“Pelanggan boleh memilih jenis fabrik dan warna. Selepas bersetuju dengan rekaan barulah saya mula menjahitnya. Biasanya setiap produk tidak mengambil masa yang lama, jika fokus dalam masa dua hari dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya yang mendapatkan semua material menerusi pembelian dalam talian.

Menariknya setiap anak patung haiwan ini bukanlah sekadar alat permainan tetapi jahitan dengan pelbagai rona terang memberikan rangsangan kepada bayi untuk mengenal warna. Begitu juga reben pada zirafah atau gajah membolehkan si comel memegang, melihat dan merasai tekstur fabrik. Secara tidak langsung ia meningkatkan kemahiran motor anak.

“Sebelum menghasilkan bentuk tertentu saya membuat pelbagai kajian dengan melayari Internet bagi mendapatkan kefahaman yang lebih jelas. Walaupun ia hanya permainan tetapi saya mahu ia ada makna. Rekaan seperti bulat, bujur dan panjang membuatkan si kecil leka bermain dengannya, ia juga salah satu kemahiran motor secara tidak langsung,” kata Marlina.

Menjadi suri rumah sepenuh masa, Marlina dia tidak mempunyai masalah dalam menyiapkan tempahan pelanggan kerana dia menetapkan jadual menjahit ketika anak berada di sekolah. Ini bagi membolehkan dia menumpukan perhatian kepada anak dan tidak leka dengan kerja menjahit sehingga mengabaikan tugas sebagai isteri dan ibu.

“Sebenarnya saya tidaklah menetapkan sasaran keuntungan tertentu pada setiap bulan. Apa yang saya lakukan hanya sekadar hobi bagi memberikan sesuatu buat yang tersayang. Tidak sangka daripada hobi ia boleh menjana pendapatan sampingan menerusi kemahiran menjahit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:00 AM