Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kehilangan orang tersayang adalah perkara yang sangat menyedihkan. Bagi yang pernah melaluinya ia diibaratkan seperti kaca yang terhempas ke batu, berat dan menyakitkan. Ada pula mengandaikan dunia menjadi gelap-gelita lantaran tidak mampu menanggung kesedihan.

Walaupun pelbagai cara dilakukan bagi meredakan kesedihan ini, namun ia sesuatu yang sukar dan mengambil masa. Mungkin sebulan, tiga bulan, enam bulan atau bertahun-tahun lamanya.

Tanpa sedar kesedihan ini mempengaruhi kehidupan jika ia tidak dikawal dan diuruskan dengan baik. Seorang teman me­ngakui dia mengambil masa dua tahun untuk pulih semula akibat kehilangan suami tercinta. Dalam tempoh itu dia sering berdoa agar Allah memberinya kekuatan menghilangkan perasaan rindunya dan kalau boleh melupakan kenangan manis bersama. Namun ia adalah mustahil kerana semakin ingin dilupakan, semakin kuat ia mengganggu fikiran.

Apa yang dilakukannya adalah mendekatkan diri kepada Allah de­ngan memperbanyakkan solat dan melakukan amal ibadat. Lama-kelamaan sedikit demi sedikit dia mampu menjalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga tersayang.

Bagi anda yang mengharungi saat getir ini, dikongsikan beberapa panduan yang boleh dilakukan untuk menenangkan perasaan antaranya:

1. Memperbanyakkan membaca al-Quran

Hiburan terbaik kala sedih dan terluka akibat kehilangan insan tersayang adalah dengan meningkatkan keimanan kepada Allah. Selain melakukan solat, banyakkan membaca al-Quran dan memahami maksudnya. Jangan dibiarkan kesedihan itu menguasai diri.

2. Berkomunikasi dengan rakan dan sesiapa saja yang boleh dipercayai

Jangan terus dibuai kesunyian sebaliknya carilah peluang meluahkan kesedihan kepada rakan dan ahli keluarga. Berbual dapat melegakan perasaan sedih anda. Sekurang-kurangnya anda kembali tenang selepas berbual-bual dengan mereka yang boleh dipercayai.

3. Tulis perasaan anda dalam buku harian

Bagi mereka yang tidak mampu berkomunikasi dengan orang lain, anda boleh meluahkan perasaan menerusi buku catatan. Tulis apa saja yang anda fikirkan. Luahkan rasa sedih, rindu atau apa saja dalam buku harian anda. Cara ini dapat meredakan kesedihan dan kesunyian anda.

4. Menangislah

Walaupun ada lelaki yang tidak mampu menangis disebabkan prinsip yang dipegang mereka, tetapi percayalah menangis adalah terapi diri paling berkesan. Menangis bukanlah sifat keanak-anakan, sebaliknya sistem pertahanan yang berikan Allah kepada manusia supaya kita berasa lega pada saat menghadapi tekanan yang hebat ini.

5. Banyakkan melakukan aktiviti

Perasaan sedih biasanya dirasai apabila kita bersendirian, berada dalam keadaan ‘kosong’ tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Oleh itu, banyakkan kegiatan bersama rakan dan keluarga kerana ia dapat membuatkan anda melupakan kesedihan yang dirasai. Antaranya dengan memancing, berenang, menonton filem atau mengikuti usrah dan ceramah agama.

6. Berkongsi rasa

Ungkapkan seluruh perasaan sedih dan kecewa yang anda rasai kepada orang lain, supaya anda berasa lega. Anda boleh meluahkannya kepada kakak, adik atau rakan pejabat. Jika anda jenis insan yang sukar mengungkapkan isi hati, mengadulah kepada Allah. Dia adalah pendengar terbaik yang sentiasa ada masa untuk kita. Bila masa terbaik untuk mengadu kepadaNya? Bila-bila masa. Bangunlah tahajud pada sepertiga terakhir malam, kerana dalam suasana yang sunyi ini, kita boleh beribadat dengan lebih khusyuk dan terasa lebih dekat dengan Yang Maha Esa.

7. Makan makanan sihat

Ketika sedang bersedih tubuh berada dalam tekanan dan biasanya lebih lemah berbanding masa lain. Walaupun tidak berselera, jamahlah makanan yang berkhasiat supaya anda kekal bertenaga dan terhindar daripada penyakit. Banyakkan minum air kosong bagi mengelak dehidrasi.

8. Buang barang yang boleh membuatkan anda bersedih

Setiap kali melihat barang insan yang sudah meninggalkan anda, anda pasti menangis. Jika anda tidak mampu mengawal perasaan apa kata anda buang atau simpan semua barangan peribadi di dalam kotak dan letakkan di tempat yang tidak boleh dicapai. Tiada gunanya mempertahankan barang ini kerana ia membuatkan anda bertambah sedih.

Antara langkah proaktif yang boleh anda lakukan ialah mendermakan barang yang masih baik kepada mana-mana keluarga atau pusat kebajikan. Bagaimanapun, simpanlah satu atau dua barang yang sangat disayangi oleh arwah untuk kenang-kenangan.

Memang benar kesedihan akibat kehilangan insan tersayang adalah perkara biasa yang akan dilalui semua orang. Namun ketahuilah kesedihan yang melampau boleh membawa kepada kemurungan dan jika anda tidak berusaha untuk bangkit ia membuatkan jiwa ‘rosak’ dan rapuh.

Ingatlah kehidupan anda masih panjang terutama jika anda mempunyai anak. Jangan terus meratapi kepedihan, kehidupan anda jauh lebih berharga daripada apa yang sering anda bayangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:00 AM