BIJAK dan bergaya dalam penampilan.
SANGAT komited memberikan perkhidmatan dalam rawatan pergigian.
IRMA memberikan nasihat kepada seorang pesakit yang datang mendapatkan rawatan gigi di kliniknya.
BERSAMA kakitangan klinik yang selama ini banyak memberikan sokongan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kata orang, cantik saja tidak cukup tanpa memiliki daya intelektual yang tinggi. Namun bagi yang dikurniakan kedua-duanya ia diibaratkan bonus untuk menyerlahkan kekuatan diri. Ini diakui Dr Irma Shida Abu Samah, 38, apabila berpendapat kecantikan itu sesuatu yang subjektif dan perlu digunakan ke arah kebaikan.

“Mungkin pada kita nampak cantik pada orang lain tidak. Apa-apa pun saya sangat bersyukur jika ada mengatakan saya memiliki paras yang cantik. Ia kurniaan Allah, alhamdulillah,” katanya yang bertugas sebagai doktor gigi dan membuka klinik pergigian Irma Ariandi di Plaza Larkin, Johor Bahru.

Dibesarkan oleh nenek, anak sulung lima beradik ini banyak mewarisi keperibadian arwah nenek yang gemar berdandan. Tambah pula semasa zaman mudanya nenek yang juga seorang guru turut berkebolehan mengandam pengantin.

Dr Irma menjadi bahan uji kaji neneknya dalam solekan. Sifat suka berdandan dan bersolek ini terbawa-bawa dalam kehidupan sehingga dia dewasa.

“Saya akui nenek memanjakan saya dan menyediakan semua keperluan. Tidak terbalas jasa nenek membesarkan sehinggakan saya patuh apa yang dikatakan nenek. Misalnya sejak kecil nenek menetapkan agar saya mengambil bidang perubatan sebagai kerjaya. Tidak mahu menghampakan harapannya saya menyambung pengajian di Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1999 dan menamatkan pengajian pada 2003 dengan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian,” katanya yang memilih pergigian kerana inginkan masa yang lebih fleksibel bersama keluarga.

Buka klinik sendiri

Selepas menamatkan pengajian di UKM pada 2003, penerima Anugerah Perpustakaan UKM dan Anugerah Pelajar Cemerlang UKM selama dua tahun berturut-turut ini memulakan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan di Kota Bharu, Kelantan. Kemudian pada 2007, dia membuka klinik pergigian bagi mencabar diri dan meningkatkan kebolehan sebagai doktor.

Dengan kesungguhan dan kepercayaan pelanggan pada 2008 dia memenangi Anugerah Usahawan Muda MARA peringkat negeri Johor. Anugerah itu menjadi pemangkin untuk mengukuhkan kedudukan sebagai doktor gigi swasta di Johor Bahru. Malah kemasyhuran klinik pergigian Dr Irma membuatkan dia menerima ramai pelanggan dari seluruh Malaysia termasuk Indonesia dan Singapura.

“Atas kepercayaan yang diberi saya mengembangkan perniagaan dengan menambah dua bilik rawatan menjadikan empat bilik rawatan supaya dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. Dedikasi yang ditunjukkan sekali lagi saya dicalonkan untuk Anugerah Usahawan Muda MARA 2017 peringkat kebangsaan kategori usahawan wanita berjaya,” katanya terharu.

Menjadikan dia di antara doktor gigi paling berpengaruh dan dikenali di Johor, Dr Irma ada cara tersendiri untuk mendekati pesakitnya. Dia langsung tidak menggunakan pemasaran di Facebook atau Instagram sebaliknya yakin perkhidmatan berkualiti serta dari jiwa mampu menyentuh nurani pelanggan.

“Saya bukan setakat mengenali gigi pelanggan sebaliknya kenal orangnya. Untuk itu saya menjalinkan hubungan erat dengan pelanggan dan lama-kelamaan mereka sendiri yang menyampaikan daripada mulut ke mulut,” katanya.

Keluar produk kecantikan

Keinginan mengeluarkan jenama sendiri tercetus apabila kulitnya menghadapi masalah akibat pemakaian produk yang tidak sesuai. Ditambah bedak asas yang memiliki bahan kimia menyebabkan masalah menjadi lebih teruk.

Teruja mengeluarkan produk sendiri, Dr Irma mula menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama ahli kimia berdaftar dan bekerjasama dalam formulasi kosmetik di kilang bertaraf GMP. Gabungan usaha ini menghasilkan rangkaian penjagaan kulit dan produk kosmetik berasaskan bahan semula jadi menggunakan kebaikan minyak pati dan ekstrak tumbuhan.

Menggunakan label Dr Irma, dia memulakan penjualan secara dalam talian menerusi media sosial Facebook dan Instagram dengan tekad menjadikan produk jenamanya lebih relevan dan dikenali ramai. Dr Irma merealisasikan butik fizikal Dr Irma Skincare & Cosmetics di Galleria@Kotaraya, Johor Bahru bagi membolehkan pelanggan datang ke kedai melihat, mencuba dan seterusnya memiliki produknya.

Selain menguruskan dua perniagaan serentak, Dr Irma juga penulis tetap untuk segmen kesihatan di akhbar berbahasa Melayu di Malaysia sejak pertengahan 2016 serta aktif dalam Alumni Pergigian UKM dengan mendaftar sebagai mentor untuk program mentor-mentee UKM.

Dia juga tidak melupakan golongan kurang berkemampuan apabila menubuhkan Tabung Bakti Irma Ariandi dengan menyumbang RM1 untuk setiap jualan produk ke dalam tabung ini. Kutipan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan bagi membantu meringankan beban.

“Pengagihan wang kutipan tabung dilakukan setiap bulan manakala penyerahan cek bantuan kepada penerima di Selangor turut disiarkan dalam program Ceritaku terbitan Salam HD HYPPTV. Tabung ini juga lebih mengutamakan kebajikan anak yatim yang memerlukan.

Bijak bahagi masa

Bekerja dalam bidang yang sama, Dr Irma bersyukur suami banyak membantu menguruskan hal ehwal klinik sekiranya dia perlu mengendalikan perihal produk.

“Inilah kelebihan apabila kami mengendalikan perniagaan yang sama. Banyak masa berkualiti yang dapat kami gunakan misalnya setiap pagi dapat bersarapan di rumah kemudian menaiki kereta yang sama ke tempat kerja. Malam apabila pulang ke rumah kami tinggalkan semua kerja di pejabat bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak. Jam 10 malam barulah berbincang dengan bahagian pemasaran mengenai produk dan mencari penyelesaiannya.

“Walau sesibuk mana pun saya cuba mengelak untuk rasa tertekan. Biasanya saya menonton drama Korea kegemaran saya. Saya akui ia adalah cara terbalik mengelak stres. Menontonnya membuatkan saya tersenyum dan ketawa lalu membangkitkan rasa gembira dalam diri,” katanya.

Berpegang pada janji mahu bergelar doktor sehingga akhir hayat, Dr Irma mengakui tidak mungkin dia meletak jawatan hanya semata-mata ingin menguruskan perniagaan kosmetik. Apa yang ingin dilakukan adalah menambah baik produk agar pelanggan berpuas hati dan menjadikan Dr Irma sebagai produk pilihan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:01 AM