MEMPELAI bersama ahli keluarga.
PENGANTIN merakam detik indah pada hari bersejarah.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Bermula sebagai pelanggan tetap di kedai penyelenggaraan pendingin hawa kenderaan sejak tahun lalu sebelum hubungan yang terjalin bertambah erat dan berakhir ke jenjang pelamin.

Sememangnya jodoh sudah ditakdirkan bagi pasangan merpati dua sejoli ini yang mengakui mempunyai keserasian dalam hubungan selain minat yang sama.

Muhammad Aisamudin Abd Samad 29, dan pasangannya, Siti Nuraini Zakaria, 23, bersyukur dengan jodoh yang ditakdirkan buat mereka.

Menurut Muhammad Aisamudin, isterinya yang juga penasihat jualan kenderaan sering datang ke kedai miliknya untuk membawa kenderaannya atau kenderaan pelanggan yang mengalami masalah pendingin hawa.

“Bermula daripada itu, kami saling mengenali sebelum hubungan kami bertambah erat dan dalam masa sama cuba mengenali hati budi masing-masing.

“Selepas mendapat restu kedua-dua keluarga, kami mengikat tali pertunangan pada 26 Mei lalu sebelum disatukan 26 Ogos lalu di Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bahru, Kelantan dengan bertemakan rona putih,” katanya.

Menurutnya, majlis persandingan diadakan keesokan harinya iaitu pada 27 Ogos lalu dengan bertemakan rona merah dan putih.

Pasangan yang gemar melancong itu merakamkan jutaan penghargaan kepada butik pengantin Elegent Bridal atas dekorasi pelamin indah dan busana anggun pada hari bersejarah itu.

Detik indah majlis dirakam jurugambar dan juruvideo Jarifoto, hidangan lazat disediakan Pa’adek Katering, ukiran inai daripada Henna Arts serta jurusolek Butik Eyla Pengantin.

Pasangan berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga yang banyak membantu serta mengharapkan hubungan dibina berkekalan dan dikurniakan zuriat soleh dan solehah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 1:00 PM