Muhamad Safar Ahmad

Ketika membantu anak saya yang belajar di tingkatan satu menyiapkan kertas projek sekolah baru-baru ini, saya perasan beberapa perkara.

Bagi saya dan mungkin mereka yang sebaya saya, skop projek sebegitu hanya kami temui ketika berada di tahap lebih tinggi.

Malah, tugasan itu juga perlu disiapkan dalam bahasa Inggeris.

Perbezaan sukatan pelajaran hari ini berbanding zaman saya tingkatan satu 33 tahun lalu bagai langit dengan bumi.

Syabas Kementerian Pendidikan Malaysia kerana berjaya membawa pelajar ke tahap lebih tinggi.

Saya juga kagum dengan pelajar hari ini yang dapat menguasai bahasa Inggeris jauh lebih baik berbanding dahulu.

Ketika sistem Peperiksaan Penilaian Darjah 5 untuk murid darjah lima beberapa dekad lalu, agak sukar menemui murid di sekolah luar bandar memperolehi A bagi subjek Bahasa Inggeris.

Malah, disebabkan murid luar bandar yang ‘buta’ bahasa Inggeris memaksa guru melakukan proses pengajaran subjek Bahasa Inggeris menggunakan bahasa Melayu ketika itu. Ini sesuatu yang amat tidak kena.

Ketika itu, bahasa Inggeris hanya dipelajari di dalam bilik darjah selama 40 minit sehari.

Ketiadaan kemudahan teknologi maklumat seperti hari ini menyebabkan murid tiada sumber rujukan.

Pemandangan murid terkial-kial membuka kamus walaupun untuk perkataan mudah adalah perkara biasa ketika itu.

Murid paling bijak di dalam kelas pun tidak berupaya menguasai banyak perbendaharaan kata bahasa Inggeris.

Golongan ibu bapa pula pastilah bukan guru yang baik untuk belajar bahasa Inggeris kerana rata-rata mereka berpendidikan rendah.

Jadi tidak hairanlah ketika itu buku rekod kemajuan murid kebanyakannya bertanda merah pada ruangan markah.

Ramai graduan yang gagal dalam proses temu duga pekerjaan berikutan tidak mahir berkomunikasi atau menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris.

Bagi yang memiliki kesedaran, mereka sanggup mengikuti kelas bahasa Inggeris persendirian malah terpaksa menebal muka duduk di dalam kelas bersama pelajar menengah.

Seorang rakan yang sering menjadi bahan ejekan di sekolah dulu kerana ‘kejahilan’ bahasa Inggeris memberitahu dia menghabiskan tiga tahun untuk betul-betul mahir belajar bahasa Inggeris menerusi kelas intensif.

Sekarang rakan berkenaan boleh berbangga kerana artikel bahasa Inggeris tulisannya banyak disiarkan dalam majalah antarabangsa.

Dalam persekitaran Malaysia, sektor swasta khususnya memerlukan calon pekerja yang boleh menguasai bahasa antarabangsa itu.

Ini tidak bermakna bahasa kebangsaan hendak diketepikan tetapi kepentingan bahasa Inggeris adalah satu realiti dalam dunia hari ini.

Malah, hari ini masyarakat Jepun yang satu ketika dulu dianggap ‘anti’ bahasa Inggeris juga mula sedar akan kepentingan mempelajari bahasa ini.

Dasar Perdana Menteri Shinzo Abe dalam mempelajari bahasa Inggeris di sekolah mewajibkan murid dalam gred lima dan enam perlu melengkapkan jumlah 35 jam untuk subjek Bahasa Inggeris.

Negara Asia seperti Filipina yang berdepan masalah kemiskinan juga mempunyai kadar kebolehan bertutur bahasa Inggeris yang tinggi.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:09 AM