TIMBALAN Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Displin Murid Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya. Turut hadir Timbalan Ketua Pengaran Pelajaran, Datuk Ahmad Tajudin Jab (kiri) dan Pengarah (Bahagian Pengurusan Sekolah Harian), Kementerian Pendidikan Malaysia, Aminudin Adam (kanan).
Muhamad Safar Ahmad

Baru-baru ini dunia akademik kecoh apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan satu senarai mengandungi 402 sekolah menengah di seluruh negara yang dikategorikan sebagai sekolah panas.

Ia membabitkan sama ada sekolah itu berdepan isu disiplin saja atau gabungan isu disiplin serta penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.

Insiden pelajar berusia 14 tahun memukul seorang guru wanita menggunakan kerusi di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini menyebabkan guru berkenaan mengalami kecederaan pada jari antara yang mewarnai krisis disiplin pelajar di Malaysia akhir-akhir ini.

Insiden ini disifatkan amat malang kerana pelajar hari ini sudah hilang rasa hormat kepada insan yang berusaha membentuk mereka menjadi manusia.

Ini belum dikira pembabitan pelajar dalam kegiatan gangsterisme dan kongsi gelap, kes rogol, buli dan sebagainya yang senarainya sangat panjang.

Kemelut dunia persekolahan yang semakin diancam pengaruh buruk memaksa Polis Diraja Malaysia (PDRM) diheret sama berikutan beberapa kes yang dikategorikan sebagai jenayah.

Hari ini, pelajar sudah berani bertindak melangkaui batasan yang mana tidak pernah kita terfikir satu ketika dulu.

Kerjaya guru kini menjadi antara pekerjaan yang semakin mencabar namun atas kesedaran mahu melahirkan anak bangsa yang berguna kepada bangsa dan negara, golongan istimewa ini tetap tidak mahu mengalah dalam melaksanakan misi mereka sebagai pendidik.

Satu ketika dulu kerjaya guru sangat dihormati masyarakat walaupun setinggi mana darjat seseorang.

Bukan itu saja, guru turut menjadi antara orang penting dan mempunyai status yang istimewa dan dilayan selayaknya.

Jika orang ramai bertemu mereka di mana-mana di luar waktu persekolahan mereka pasti akan disapa dengan penuh mesra dan tertib.

Malah ibu bapa yang mempunyai anak gadis, bermenantukan guru bagai satu impian dan sangat bertuah jika ia menjadi kenyataan.

Bagi pelajar, melawan guru adalah satu dosa besar apatah lagi melawan secara fizikal dan kekerasan.

Ia samalah seperti menderhaka kepada ibu bapa.

Jika didenda atau dirotan guru di sekolah pasti akan menerima hukuman tambahan sebaik pulang ke rumah, malah ada ibu bapa sendiri meminta anak mereka dirotan jika melakukan kesalahan.

Dunia berubah, sifat dan pertimbangan manusia pun turut berubah. Hari ini kita tidak dapat lagi melihat rutin di sekolah seperti 30 tahun lalu.

Hari ini jika anak kita dirotan ibu bapa akan menyerbu dan menyalahkan pihak sekolah.

Malah, ada yang sampai mengambil tindakan undang-undang jika anak mereka disentuh. Mungkin manusia hari ini punya kesedaran undang-undang yang tinggi hingga tidak membenarkan anak-anak diusik dan dimarahi.

Beberapa kajian mendapati kerjaya guru antara pekerjaan penuh tekanan hari ini.

Mereka bukan berdepan dengan tanggungjawab akademik semata-mata tetapi terpaksa menghadapi masalah sampingan lain membabitkan pelajar.

Modul pendidikan yang semakin maju menjadikan pekerjaan sebagai pendidik bertambah berkali ganda.

Saya tidak menafikan golongan guru diraikan dan dihargai atas jasa mereka khususnya pada sambutan Hari Guru setiap tahun.

Bagaimanapun, cukupkah hanya tarikh 16 Mei itu saja untuk jasa dan pengorbanan guru dikenang - baki 364 hari lagi mereka terpaksa menghadap pelbagai perangai pelajar dan menanggung penderitaan emosi semata-mata mahu memastikan anak kita menjadi seorang insan berguna.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 1:52 AM