NAJIB merasmikan pelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis pada sambutan Hari Polis ke-201 di Pulapol Kuala Lumpur.
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera diucapkan kepada pembaca sekalian. Kita semua sedia maklum persaraan adalah garis penghujung bagi kakitangan kerajaan apabila tiba saat dan ketikanya untuk meninggalkan perkhidmatan awam. Namun, ia bukan bererti terputusnya tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan pesara yang banyak menabur jasa dan pengorbanan demi pembangunan dan kesejahteraan negara.

Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), pesara dan bekas polis adalah aset penting kepada negara dan juga pasukan kerana golongan ini memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang amat luas dalam bidang keselamatan dan pencegahan jenayah. Ia boleh dimanfaatkan untuk membina masyarakat aman, harmoni, selamat dan peka kepada keadaan ancaman keselamatan dan jenayah.

Pada Zaman Darurat Pertama (1948-1960), pasukan polis adalah pasukan keselamatan yang pertama dibangunkan semula oleh kerajaan ketika itu bagi mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keteraturan dalam masyarakat yang baru pulih daripada bahana Perang Dunia Pertama. Ini kerana persekitaran yang selamat dapat mempercepatkan proses pembangunan ekonomi negara yang pada ketika itu terpaksa berhadapan dengan ancaman subversif Parti Komunis Malaya.

Sementara dalam era Darurat Kedua (1961-1990), negara terpaksa berhadapan dengan kebangkitan perjuangan bersenjata kali kedua oleh Parti Komunis Malaya, Partai Komunis Kalimantan Utara (PARAKU) di Sabah dan Sarawak serta ancaman yang wujud daripada Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Dalam usaha mempertahankan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara, ramai anggota polis yang terkorban atau mengalami kecacatan seumur hidup. Dalam kedua-dua zaman darurat tersebut (1948-1990), sejumlah 1,493 anggota polis terkorban, manakala 1,970 lainnya tercedera.

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan warga pesara dan bekas polis, Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) ditubuhkan berdasarkan Suratcara Amanah Tabung Amanah Warisan Polis bertarikh 14 September 1992. TAWP adalah tabung amanah (charitable trust) yang ditubuhkan kerajaan selaras dengan peruntukan Seksyen 37 Trustee Act 1949.

Suratcara Amanah Tabung Amanah Warisan juga menubuhkan satu Lembaga Pengurus Tabung Amanah Warisan Polis bagi mengurus tadbir serta menetapkan hala tuju TAWP, meluluskan pemberian bantuan dan bekerjasama dalam menguruskan penambahbaikan TAWP. Ahli Lembaga Pengurus ini terdiri daripada:-

1. Timbalan Menteri Dalam Negeri I – Pengerusi

2. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri – Ahli Tetap

3. Ketua Polis Negara – Ahli Tetap

4. Pengarah Pengurusan – Ahli Tetap

5. Lima ahli yang dilantik oleh Lembaga Pengurus.

TAWP ditubuhkan bagi tujuan memelihara hal ehwal kebajikan pesara dan bekas polis. Seramai 140,000 pesara dan bekas polis termasuk balu, duda dan anak dalam tanggungan layak untuk mendapatkan pelbagai bentuk bantuan dari TAWP:

i. Khairat kematian: RM1,000 untuk kematian pesara dan bekas polis, RM500 untuk kematian pasangan pesara dan bekas polis dan RM250 untuk kematian anak di dalam tanggungan;

ii. Perubatan: Jumlah maksimum bantuan perubatan ialah RM300. Kaki dan lain-lain alat palsu tidak melebihi RM5,000

iii. Pergerakan – Bantuan kerusi, tongkat, walking frame dan lain-lain

iv. Pendidikan – Bantuan pendidikan diberikan kepada anak pesara dan bekas polis dalam tanggungan pada kadar RM500 bagi pendidikan tinggi; RM300 bagi pendidikan menengah; dan RM150 bagi pendidikan rendah

v. Bencana alam – Bantuan maksimum RM5,000.

PDRM sedang berusaha untuk mengangkat cadangan kepada Lembaga Pengurus Tabung Amanah Warisan Polis supaya kadar bantuan yang diberikan ini dipertingkatkan lagi, agar seiring dengan perubahan kos sara hidup semasa.

Pada 2016, Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis mengedarkan bantuan TAWP kepada 1,115 bekas dan pesara polis berjumlah RM1,015,860.40. Bantuan tersebut meliputi bantuan khairat kematian, perubatan, pergerakan (kerusi roda dan beberapa jenis tongkat), pendidikan dan bencana alam.

Selain itu, dalam bencana banjir besar yang melanda negara, khususnya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak pada penghujung 2014, Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis memproses dan memperakukan 280 permohonan daripada pihak yang layak, di mana semua pemohon menerima bantuan yang secara keseluruhannya bernilai RM308,500. Bantuan bencana juga diberikan kepada 11 pemohon lain yang mengalami kerugian akibat ribut, kebakaran dan tanah runtuh, bernilai RM11,500.

Sepanjang 2016 juga, 103 lawatan kebajikan ke atas pesara yang sakit atau meninggal dunia, sama ada di rumah atau di hospital dilakukan, berbanding 56 lawatan pada 2015. Semasa lawatan, pesara atau waris pesara yang meninggal dunia diberikan bantuan sewajarnya, termasuk bantuan penyelarasan oleh pegawai kebajikan pasukan dan kontinjen dalam lawatan semasa kematian. Borang permohonan bantuan di bawah TAWP juga turut diedarkan bagi meringankan bebanan pesara.

Dijangkakan jumlah lawatan kebajikan ini akan meningkat di masa hadapan ekoran meningkatnya kesedaran di kalangan pesara dan bekas polis tentang kewujudan TAWP ini, yang mampu membantu meringankan beban yang mereka hadapi. PDRM bukan saja memberikan komitmen tertinggi dalam mengadakan lawatan kebajikan dan memberikan bantuan pengurusan jenazah, malah TAWP ini akan dipelbagaikan penggunaannya dan ditingkatkan keberkesanan pengurusannya supaya bantuan segera dapat diberikan kepada yang berhak dan layak.

Dengan wujudnya TAWP ini, lebih banyak aktiviti bersama pesara dan bekas polis dapat dirancang pada masa depan. Ini termasuk seminar dan bengkel pencegahan jenayah, di mana ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pesara dan bekas polis boleh dikongsi dan dimanfaatkan dalam usaha memelihara keselamatan masyarakat.

Untuk makluman pembaca, Majlis Pra-Pelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis telah diadakan pada 19 Mac 2017 di Dataran Pahlawan Melaka. Selain daripada menguar-uarkan tentang kempen rayuan, majlis tersebut bagi mengisi program Kembara Bermotosikal Sang Saka Biru bersempena Sambutan Hari Polis ke-210.

Pada 25 Mac 2017, Majlis Pelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, sebagai salah satu acara kemuncak Sambutan Hari Polis ke-210 di PULAPOL Kuala Lumpur. Majlis Pra-Pelancaran dan Pelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis tersebut bertujuan:

i. Menguar-uarkan tentang khidmat, jasa, bakti dan pengorbanan perjuangan pegawai dan anggota polis di dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan negara;

ii. Menguar-uarkan tentang wujudnya TAWP yang memberikan bantuan kepada pesara dan bekas polis yang banyak menabur jasa dan bakti kepada Negara;

iii. Menguar-uarkan tentang Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis yang bertujuan mengumpul dana sebanyak mungkin, bagi memastikan kesinambungan bantuan di bawah tabung ini serta menampung usaha untuk mempelbagaikan lagi kegunaan dana, agar faedah daripada tabung ini boleh dinikmati secara lebih menyeluruh;

iv. Mengajak masyarakat Malaysia prihatin dan dermawan untuk sama-sama menghayati pengorbanan Pasukan Polis dan seterusnya menyumbang kepada TAWP

v. Sebagai tanda PDRM sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal kebajikan pesara dan bekas polis serta sentiasa berusaha untuk mencari ruang dan peluang untuk membantu mereka.

Sehingga 31 Julai 2017, jumlah RM3,163,000 wang kutipan berjaya diperoleh.

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan bekas dan pesara Polis dalam memelihara kebajikan dan kesejahteraan mereka, sumbangan kepada TAWP boleh dibuat melalui cek atas nama Amanah Raya Berhad for Tabung Amanah Warisan Polis, melalui Akaun Maybank No. 5641-5555-6780.

Terima kasih di atas keprihatinan masyarakat Malaysia kepada POLIS DIRAJA MALAYSIA.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 3:36 PM