Ahmad Salim Bachok

Pergolakan terkini di Menara FELDA terletak berhampiran menara kembar Petronas meresahkan begitu banyak pihak di negara ini. Kemelut yang membabitkan pengurusan tertinggi FELDA Global Ventures (FGV) di antara lembaga pengarah FGV yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad heboh menjadi tajuk utama pelbagai platform media massa di negara ini sejak beberapa hari lalu.

Ia berlaku apabila lembaga pengarah FGV dan Pengerusinya menggantung tugas Zakaria serta tiga lagi pengurusan kanan FGV atas alasan salah urus tadbir syarikat hingga dikatakan menyebabkan FGV kerugian puluhan juta ringgit. Bagaimanapun Zakaria bertegas untuk menentang arahan berkenaan, malah menjemput pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat FGV.

Apa pun, kemelut ini, jika dibiarkan berpanjangan, mampu memberi kesan tidak baik bukan saja kepada FGV dan FELDA khususnya, tetapi juga seluruh rakyat, pemerintah dan imej negara ini. Dari segi ekonomi, pergolakan yang sepatutnya boleh ditangani secara baik dan profesional ini dikatakan memberi kesan negatif kepada harga saham FGV di bursa saham.

Menurut penganalisis saham, akibat kemelut ini, nilai pasaran saham FGV merosot teruk beberapa hari lalu. Mujurlah harganya seakan pulih menjelang hujung minggu ini, terutamanya setelah kerajaan mengumumkan pelantikan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah dan menangani isu ini.

Sebagai seorang anak peneroka FELDA, apa juga isu atau masalah yang berlaku di ibu pejabat FELDA serta anak syarikatnya akan memberi kesan kepada saya serta semua rakan generasi kedua FELDA yang lain. Ini kerana tanah rancangan FELDA adalah simbol kasih sayang kami terhadap ibu bapa yang berada di kampung halaman yang wujud di hampir setiap negeri di dalam negara ini.

Kedudukan Zakaria sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FGV sesungguhnya memberi makna tersendiri kepada seluruh kalangan generasi kedua FELDA. Zakaria, 57, anak peneroka FELDA Palong 1 di Negeri Sembilan, boleh dianggap antara ikon atau simbol kecemerlangan serta kehebatan anak FELDA yang berjaya menjadi tokoh hebat dalam kerjaya mereka.

Walaupun ramai lagi anak peneroka FELDA yang boleh dianggap berjaya terutamanya sebagai tokoh perniagaan ternama dan ahli politik, buat masa ini Zakaria adalah anak peneroka berjawatan paling tinggi di dalam hierarki pengurusan FELDA. Kerana itu, di mata kami anak peneroka generasi kedua FELDA, Zakaria tentunya tokoh yang disanjung serta dihormati semua.

Latar belakang pendidikan dan pengalaman luasnya selama lebih 30 tahun menjadi antara tenaga pengurusan kanan di FELDA menjadikan beliau dianggap amat tepat untuk menerajui FGV, syarikat ladang kelapa sawit ketiga terbesar di dunia yang menguruskan lebih 850,000 hektar ladang sawit, di mana lebih 500,000 hektar daripadanya milik lebih 112,600 peneroka FELDA di seluruh negara.

Justeru, krisis yang melanda tokoh anak peneroka FELDA ini tentu sekali mendapat perhatian kami, khususnya generasi kedua FELDA yang bangga dilahir dan dibesarkan di tanah FELDA.

Kenangan bergelumang dan susah payah membantu ibu bapa membersih ladang dan memungut biji sawit atau menoreh serta memungut getah sekerap ketika kecil dulu antara kenangan manis yang sentiasa kami ingati walau di mana kami berada.

Kehidupan awal di sebahagian besar tanah FELDA bukanlah mudah. Saya masih ingat ketika mula-mula menemani arwah ayah mendaftar diri menjadi peneroka FELDA di Kota Tinggi pada pertengahan 1972 dulu.

Ketika itu keadaan penempatan peneroka amatlah daif. Rumah kami tiada bekalan elektrik, air pula hanyalah dari paip air di tepi jalan yang perlu dikongsi setiap 20 buah rumah. Itu pun bekalan airnya sering terputus-putus dan hanya keluar (lebih sering hanya meleleh atau menitis saja) pada sebelah malam.

Malah, sebahagian ahli keluarga peneroka ketika itu terpaksa mengangkut air dari sumber lain iaitu parit kecil yang mengalir jauh di dalam ladang sawit.

Bagi mereka yang bersekolah menengah ketika itu (termasuk saya), cabaran dan kepayahan adalah lebih besar lagi. Jalan yang menghubungkan kampung kami ke bandar Kota Tinggi hampir tidak boleh dilalui langsung oleh kenderaan ringan terutamanya kereta. Jalan tanah merahnya sentiasa berlopak, rosak teruk dan hanya sesuai dilalui lori balak, traktor atau lori hantu.

Kini, tidak ada lagi tanah rancangan FELDA yang tiada bekalan elektrik atau air bersih. Malah, rumah emak saya di tanah FELDA kini sangatlah selesa kerana dari empat bilik yang ada, tiga daripadanya dilengkapi penyaman udara. Kalau ketika mula menjadi peneroka FELDA dahulu kami terpaksa berkongsi paip air bersama jiran, kini rumah emak mempunyai dua bilik air berasingan dilengkapi pancuran air panas.

Itulah nikmat dan keselesaan yang dinikmati generasi kedua dan ketiga FELDA yang kini menetap di tanah rancangan, tetapi tidak dapat dirasai oleh kami, generasi kedua FELDA dan ibu bapa kami dulu.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:17 AM