KAU Yang Satu dibarisi pelakon hebat.
KAU Yang Satu dibarisi pelakon hebat.
Adam Salleh

“Cubalah bandingkan darahmu dengan darahku,” herdik Ghazali pada Tengku Mukri dalam Antara Dua Darjat. Yang mahu diherdik di sini, cubalah bandingkan novel dulu dan novel sekarang sebaik ke filem. Dua novel terkenal diadaptasi ke layar lebar, Langit Petang karya A Samad Said (Datuk) arahan Sharom Mohd Dom dan Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad (Datuk) arahan Datuk Jamil Sulong masih tidak lekang di ingatan bagaimana novel bukan ‘cintan-cintun’ mampu membawa filem itu mencecah kutipan pecah panggung.

Semacam satu keghairahan muktahir ini apabila satu demi satu novel dijadikan drama TV, seterusnya ada yang dinaik taraf menjadi filem. Kejayaan novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashari menjadi filem mencetuskan fenomena baru untuk mereka yang kita sendiri pun tidak tahu hujung pangkal dalam bidang penulisan tiba-tiba boleh mencelah menjadi novelis.

Untung sabut timbul, untung batu sendiri mahu ingat kerana tidak semestinya novel yang dibawa ke filem boleh ‘meletup’ seperti Ombak Rindu. Di sebalik debaran produser dan pengarah apabila novel dipilih ke filem, ia pertaruhan sebenar buat si penulis apakah cerita disajikan mereka itu ada magis untuk menarik penonton. Untuk drama TV lainlah, gratis saja.

Kelmarin penulis menonton filem Kau Yang Satu arahan Osman Ali. Berbanding sutradara lain, entah mengapa acapkali filem Osman Ali ini memasuki tayangan umum ditakdirkan boleh pula mencuri masa untuk menonton sama ada di prebiu, malam gala atau membeli tiket sendiri seperti Kau Yang Satu terbitan Astro Shaw, Global Station Sdn.Bhd. dan Nuansa itu.

Setakat ini filem Osman sempat ditonton Anak Halal, Cun, Ombak Rindu, Sejoli: Misi Cantas Cinta, Jwanita, Pilot Cafe dan Langit Cinta. Sekalipun tidak sempat menonton filem arahan beliau lain seperti Bukak Api (2000), Jiwa Taiko, Puaka Tebing Biru dan Sinaran, serba sedikit dapatlah memahami falsafah di sebalik garapan karya anak kelahiran Langkawi ini.

Sudah namanya orang pulau, jika diamati arahan Osman lokasi tepi pantai dan laut berserta langit bagaikan tidak boleh dipisahkan. Menontonnya kita berasa damai sejenak.

Kau Yang Satu berdasarkan novel karya Nia Azalea masih ditayangkan mulai memasuki pawagam pada 27 Julai lalu agak beruntung kerana dibarisi pelakon hebat seperti Izara Aishah sebagai Salina, Aaron Aziz (Taufik), Hisyam Hamid (Zulkifli), Soo Wincci (Isabella), Amyra Rosli (Normah) selain penampilan khas Zaidi Omar, Wan Hanafi Su dan Rosnah Johari.

Setiap pelakon yang dipilih itu mempunyai kekuatan tersendiri, malah ada yang mempunyai ribuan ‘pengikut’ di akaun media sosial masing-masing, bahkan seperti Izara dan Aaron, kedua-duanya pernah bekerjasama dengan Osman melalui Ombak Rindu dan Pilot Cafe. Namun harus diingat kekuatan pelakon dan pengikut ramai tiada jaminan lakunya filem itu.

Asas filem adalah pada ceritanya. Mudah kata seperti mak cik jual nasi lemaklah, jika sambal tidak ‘power’ walau mak cik itu pertaruh anak dara suntinya berniaga di sisi, lambat laun pelanggan akan lari juga. Dalam Kau Yang Satu tema ditampilkan adalah biasa dan konflik rumah tangga yang dihadapi oleh Taufik dan Salina tidak mencabar emosi untuk kita bersimpati.

Bagaimana seseorang penulis novel itu mendapatkan cerita dan bagaimana seseorang pemberita itu mendapat berita adalah dua cara berbeza. Berita dihasilkan melalui fakta berbanding penulis novel boleh terperap hanya dalam bilik lalu bermain imaginasi yang indah-indah, tidak pun mendapat sesuatu cerita yang dikongsi kenalan atau ahli keluarga sendiri.

Dalam Kau Yang Satu, hampir 70 peratus penggambaran hanya berlegar dalam rumah. Jika lokasi terikat dalam rumah, hakikatnya tidak menarik apabila divisual menjadi filem. Watak Salina, gadis kampung yang kelihatan ‘bengap’ menimbulkan persoalan dengan ledakan teknologi maklumat sekarang, di era digital adakah lagi gadis kampung yang bengap.

Penceritaan tidak jelas buat audien tertanya-tanya bagaimana ayah Taufik boleh tersadai diselamatkan ayah Salina. Ada kala terganggu juga di fikiran sedang menonton Ombak Rindu kah, Pilot Cafe kah atau Langit Cinta. Satu hal diperhati ada filem tempatan menggunakan lokasi luar negara, namun boleh dikatakan lebih menjurus pada travelog saja tiada konflik.

Alangkah menarik jika dapat dieksploit konflik di antara Salina dan Taufik terjadi di New Zealand, bagaimana Salina menjejaki kekasih gelap suaminya itu ke luar negara. Jauh beza jika filem tetangga Bulan Terbelah Di Langit Amerika, Assalamualaikum Beijing atau Syurga Yang Tak DiRindukan 2 (Hungary) lokasi luar negara dieksploit sepenuhnya berserta konflik.

Di sisi lain, karakter antagonis dan daring Soo Wincci tidak mengecewakan. Tidak mustahil bekas ratu cantik Malaysia ini boleh melangkah lebih jauh dalam arena perfileman tempatan asalkan dia berani berlakon dengan ramai pengarah. Cuma adegan Isabella dibunuh ngeri berlumuran darah itu bak imbasan Jwanita bertarung dengan Julaika dalam Jwanita.

Apa pun Kau Yang Satu menarik untuk ditonton bagi yang baru nak berjinak dalam alam percintaan. Lagu tema Kau Yang Satu nyanyian Indah Ruhaila ada lenggok Datuk Siti Nurhaliza di situ. Di kesempatan ini juga sekalung tahniah buat Syamsul Yusof kerana membanggakan negara apabila merangkul anugerah Pengarah Terbaik melalui filem Munafik di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja. Sebelum ini Yasmin Ahmad diiktiraf sebagai pengarah terbaik melalui filem Mualaf di FFAP ke-54 di Taipei pada 2010.

Kejayaan Yasmin dan Shamsul itu diharap dapat menyuntik semangat pengarah tanah air kita untuk aktif dan kreatif berkarya menghasilkan filem terbaik yang diiktiraf antarabangsa.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:03 AM