PAK Engku disemadikan di Makam Diraja Selangor di Shah Alam.
Adam Salleh

Yang sinonim dikait Pak Engku adalah ‘chef selebriti’. Yang lebih relevan sebenarnya Pak Engku menjurus ‘chef VVIP’. Lazimnya chef selebriti kita lihat wajah mereka terpacul di TV, menjadi juri program memasak itu dan ini berbeza dengan Pak Engku air tangan beliau bukan saja diminati selebriti bahkan golongan VVIP daripada menteri hinggalah masuk ke istana.

Pernahkah kita terbayang, bagaimana Pak Engku kendalikan masakan yang dihadiri lebih 70,000 tetamu? Inilah dibuktikan Pak Engku dalam setiap majlis VVIP termasuk majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dihadiri 100,000 tetamu. Bukan calang-calang chef boleh kendalikan jamuan dalam kapasiti yang begitu besar.

Itulah magis Pak Engku dan lebih hebat lagi payah mendengar Pak Engku mengomel kepenatan atau ‘tension’ menyelia majlis jamuan? Sifatnya yang tenang serta perwatakannya yang ceria membuatkan Pak Engku mudah didampingi dan lebih istimewa di kalangan selebriti sama ada pelakon dan penyanyi berasakan Pak Engku itu sebahagian daripada mereka.

Namun ada cerita mengapa Pak Engku ini begitu dikasihi golongan artis khususnya veteran. Seperti kita sedia maklum artis veteran tanah air kita ini majoriti tidak mempunyai pendapatan tetap. Bukan seorang dua artis veteran yang ‘dapur kurang berasap’ mengadu pada Pak Engku dan atas ihsan Pak Engku ada cara tersendiri untuk membantu mereka.

Salah satu jika ada majlis yang mahukan khidmat Kuzie Catering, Pak Engku saran pada tuan rumah agar seorang dua artis veteran dipilih menyanyi bersama pakej katerarnya itu. Menaja makanan sudah menjadi kelaziman buat Pak Engku, sebagaimana diceritakan komposer S Atan pada awal Ogos lalu Pak Engku bermurah hati menaja majlis sambutan ulang tahunnya dan anaknya di Kajang dengan hiasan meja secara eksklusif. Hal ini mengingatkan penulis ketika diminta pihak Melodi (TV3) bermain futsal bersama artis di Subang Jaya suatu ketika dulu.

Antara artis terbabit Ayda Jebat dan Umie Aida, sebaik perlawanan berakhir kami dihidangkan makanan oleh Kuzie Catering dan Pak Engku hadir ketika itu. Program di gelangang futsal jika katerar biasa jamuan disediakan tidak perlulah berhias-hias, ala ‘koboi’ pun memadailah tetapi Pak Engku ‘set-up’ meja makan kelihatan seperti hotel lima bintang.

Sifat pemurah Pak Engku diterjemahkan pada setiap Aidilfitri melalui jamuan dan program hiburan yang disajikan. Artis yang hadir pula bagaikan berada pada malam festival filem . Ikutkan rumah terbuka Pak Engku tahun ini (2017) mahu diadakan tiga kali cuma dua kali saja berjaya dilakukan. Kemurahan hati Pak Engku inilah mendorong Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) yang diterajui dramatis veteran, Kismah Johari melantik Pak Engku sebagai penaung sejak 2014. Ibarat pucuk dicita ulam pun tiba begitulah Pak Engku terhadap yayasan itu.

Selama bersama YAVM setiap majlis jamuan katerar pastilah Kuzie Catering dan sesuatu yang mengharukan Kismah bayaran tidak pernah dihiraukan oleh Pak Engku. Acapkali pihak yayasan mahu membayar setengah harga, tetapi Pak Engku menolak dengan alasan itulah saja sumbangan amal jariah yang dapat diberi pada yayasan bagi menghargai artis veteran.

Situasi ini jauh berbeza dengan sikap seorang ustaz yang muncul dari realiti TV sewaktu diminta memberi ceramah program yayasan, pihak pengurusan ustaz itu tidak dapat menerima bayaran token RM500 itu sebaliknya meletak harga RM800 dan lebih pedih ‘dibahasakan’ setiap kali ustaz ‘mi segera’ itu turun berceramah bayaran beliau sepatutnya RM1,000.

Minat pada artis veteran dan seni juga mendorong Pak Engku merakam suara dalam album sendiri. Timbul juga cerita seperti mencari publisiti murah sebaik album Pak Engku itu diterbitkan, namun di sebaliknya ramai tidak menyedari album yang dihasilkan sekalipun Pak Engku menyanyi kedengaran seperti ke laut tetapi itulah terapi terbaik buat diri beliau.

Ketika majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri dengan Penggiat Seni di Seri Perdana, sempat menyapa dan mengabadikan gambar bersama Pak Engku. Ikutkan bukan baru penulis kenal Pak Engku ini apatah lagi ikut susur galur beliau ada kaitan keluarga sebelah ibu penulis (Raja Hamidah Raja Saat juga nenek sedara kepada Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin @ Kak Engku).

Selama mengenali Pak Engku pula tidak terfikir mahu bergambar dengan beliau, sehinggalah di Seri Perdana tempoh hari kami bergambar bersama sambil bersongkok. Kelihatan kesihatan Pak Engku merosot ketika itu, sebabnya ketika bergambar Pak Engku seperti kehilangan kudrat apabila dia cuma duduk di kerusi. Fizikal tubuhnya kelihatan agak kurus berbanding sebelum ini berisi, namun tidak diceritakan apakah beliau sakit. Kesihatan Pak Engku kelihatan serius boleh dinilai melalui kiriman WhatsApp yang diberi pada Kak Engku.

Membacanya kita sudah memahami gangguan kesihatan dialami apabila perkataan terima kasih dicatat time kadih, masakan ditulis mazakkan. Sifat mulia dan pemurah Pak Engku ini jelas, pada malam kematiannya (Jumaat, 11 Ogos 2017) awal informasi penulis terima dari Kak Engku, Pak Engku akan dikebumikan di kampung halamannya, Batu Laut, Banting.

Bersama keluarga, penulis sudah berkira-kira untuk menzirah jenazah Pak Engku awal pagi di Banting, namun atas titah Sultan Selangor, jenazah Pak Engku atau nama sebenarnya Datuk Raja Rosly Raja Mazlan, 57, disemadikan di Makam Diraja Selangor di Shah Alam, tidak jauh dari kediaman Pak Engku dan Kak Engku sendiri di Shah Alam. Al-Fatihah Pak Engku.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:18 AM