ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa.
Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Seorang lelaki warga Vietnam berusia 50 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Perkasa 1, Taman Tun Aminah di Skudai, dekat sini, malam kelmarin.

Seorang wanita Vietnam yang masih belum dikenal pasti identiti turut parah ditetak dalam kejadian jam 8.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Khamsani Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan selepas mendapat panggilan daripada anggota Pondok Bit mengenai kejadian tetak membabitkan dua orang mangsa kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan menemui seorang lelaki warga asing sudah meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan satu kesan tikaman di hadapan badan serta beberapa kali lagi di belakang badannya.

Katanya, mayat mangsa ketika ditemui didapati hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju.

"Wanita yang cedera di lengan didapati berada dalam keadaan kritikal dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

"Pemeriksaan di premis berkenaan mendapati lantai, dinding dan pintu bilik yang dihuni mangsa penuh dengan kesan percikan serta tompokan darah.

"Rumah kedai berkenaan didapati diubah suai menjadi tujuh bilik dan dikatakan dihuni buruh warga asing.

"Bagaimanapun, semua penghuninya tidak kelihatan dipercayai sudah melarikan diri selepas kejadian itu," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mengesyaki suspek yang menikam mangsa adalah rakan sebiliknya yang juga dari Vietnam.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk usaha untuk mengesan suspek yang sudah menghilangkan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta dapat menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Keterangan Gambar

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke HSA.

ends/

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:25 AM