Ahmad Izham ketika memberi taklimat kepada media pada Media Prima 2015 TV Networks Screenings Week di Balai Berita NSTP Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur

Rangkaian Televisyen Media Prima terus memberi tumpuan untuk mempamerkan kandungan yang berupaya menambat penonton dengan memperkenalkan 100 rancangan baru tempatan dan antarabangsa untuk 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyennya Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya komited menghasilkan beberapa program TV terbaru yang lebih menarik sejajar dengan strategi komunikasi pemasaran bersepadunya di samping mempertahankan kedudukan sebagai syarikat nombor satu dalam sektor penyiaran di Malaysia.

Katanya, Media Prima menerajui industri dengan menjangkau lebih 24 juta rakyat Malaysia setiap hari melalui rangkaian televisyen teresterial dan satelit.

"Selepas menjalankan penyelidikan dan percubaan teliti, kami mencipta kandungan yang sesuai untuk memenuhi keperluan penonton. Ini bagi memastikan jangkaan mereka sentiasa dipenuhi manakala pengiklan dapat memaksimumkan keupayaan mereka untuk menjangkau orang ramai dengan rangkaian media lain.

"Pengiklan juga mempunyai peluang baik untuk menjalin hubungan rapat dengan penonton menerusi pelbagai acara dan juga pertunjukan langsung yang dianjurkan Media Prima," katanya pada acara tahunan Media Prima TV Networks Screenings 2015 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV Media Prima Berhad Seelan Paul.

Bagi 2015, Media Prima dijangka membawa lebih 100 program di saluran televisyen TV3, ntv7, 8TV dan TV9. Program terbabit termasuk kombinasi blockbuster tempatan seperti siri drama, program realiti, masakan, bual bicara, dokumentari dan pelbagai lagi.

Selain itu, beberapa program yang sedang disiarkan tahun ini akan kembali dalam musim baru tahun depan berikutan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Untuk memastikan kandungan program memenuhi kehendak penonton dan bertaraf global, beberapa program diterbitkan secara usaha sama dengan syarikat penerbitan utama di serata dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:14 AM