SJKT Methodist yang akan dijadikan lokasi Program Titipan Kasih Harian Metro. Gambar kecil, Mohan.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Kapar

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Methodist Kapar dipilih menjadi lokasi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Khas Deepavali pada Sabtu ini.

Sekolah yang terletak kira-kira 19 kilometer dari Bandar Klang itu adalah sekolah jenis kebangsaan terbesar di dalam Parlimen Kapar dan pembinaannya adalah hasil usaha bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Guru Besar sekolah berkenaan, M Mohan berkata, pihaknya sangat berbesar hati atas kesudian akhbar Harian Metro memilih sekolah itu untuk dijadikan lokasi program TKHM lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama membabitkan komuniti India sepanjang tujuh tahun penganjuran program itu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Harian Metro kerana memilih dewan sekolah ini sebagai tempat menjayakan Program Titipan Kasih pada Sabtu ini.

"Sebagai tuan rumah kepada aktiviti kemasyarakatan ini, saya akan memberi kerjasama penuh kepada Harian Metro," katanya.

Mohan berkata, penganjuran program itu adalah satu penghormatan kepada dirinya memandangkan dia akan bersara daripada jawatannya tidak lama lagi.

"Diharap penganjuran program ini dapat memberi faedah kepada masyarakat India, selain sumbangan terakhir saya kepada komuniti India di sekitar daerah ini sebelum saya bersara.

"Saya berpendapat, Program Titipan Kasih ini sangat bagus kerana ia dapat membantu masyarakat yang hidup susah apatah lagi ketika ingin menyambut perayaan Deepavali. Saya berharap penerima sumbangan dapat menggunakan sumbangan ini dengan sebaiknya," katanya.

Sementara itu Pengarang Eksekutif Harian Metro yang juga Pengerusi Program TKHM, Othman Mamat berkata, beliau berterima kasih kepada warga SJKT Methodist kerana memberi kebenaran kepada Harian Metro mengadakan program TKHM di sekolah itu.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga pendidik SJKT Methodist. Saya juga amat menghargai kerjasama yang diberikan lebih-lebih lagi ini adalah program berbentuk kebajikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:19 AM