ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa di Jalan Sungai Batu Pahat.
Oleh Shamsul Munir Safini

Kangar: "Saya melihat mangsa masih bernyawa, namun kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tersepit di bawah jengkaut," kata Loh Yoke Lin, 55, rakan Pratheang Boon Chui, 52, yang maut apabila jentera berat dikendali lelaki itu terbalik di lereng bukit sebuah kuari batu, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.40 petang ketika bapa kepada tiga anak perempuan berusia antara 14 hingga 18 tahun itu sedang membuang ketulan batu di lereng bukit yang bakal menjadi laluan ke kuari berkenaan.

Difahamkan, jengkaut dikendalikan mangsa yang berasal dari Kampung Patani, Jejawi, di sini, tiba-tiba tergelincir dari ketinggian 25 meter sebelum jatuh dalam keadaan terbalik di lereng bukit.

Mangsa dikatakan maut sejurus kejadian dipercayai akibat tertusuk besi di beberapa bahagian badannya.

Loh berkata, ketika itu dia masih sempat melihat rakannya meminta pertolongan sambil merintih kesakitan dan menangis teresak-esak kerana tersepit di bawah jentera berat berkenaan dalam keadaan mengerikan.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu apabila datang mahu menghantar minyak diesel bagi diisi ke dalam jengkaut berkenaan.

"Saya mencari jengkaut itu di lereng bukit, namun ia tidak kelihatan lalu memeriksa di kawasan bawah sebelum ternampak mangsa tersepit di bawah jengkaut yang terbalik berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:01 AM