Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: FELDA menang dalam saman fitnah yang difailkan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi berhubung dua artikel yang disiarkan dalam Suara Keadilan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas mendapati FELDA sebagai badan awam boleh memfailkan saman mengikut Seksyen 15 Akta Pembangunan Tanah 1956.

Dalam penghakimannya, Hakim Kamaludin berkata, mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa FELDA mempunyai hak membuat tindakan saman mengikut peruntukan undang-undang.

Bagaimanapun, taksiran ganti rugi akan dibuat pada tarikh yang akan ditetapkan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pada 30 September lalu, Dr Wan Azizah dan dua defendan lagi mengakui bertanggungjawab terhadap dua artikel yang disiarkan melalui akhbar Suara Keadilan pada 22 dan 29 Jun bertajuk ‘Kontroversi’ dan ‘Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’.

Pada tarikh yang sama juga, bekas editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib mengemukakan permohonan maaf kepada FELDA kerana menyiarkan artikel fitnah dan mengakui ia palsu dan tidak benar.

Pada 16 Ogos 2010, FELDA dan syarikat pelaburannya, FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd memfailkan menuntut ganti rugi RM200 juta saman terhadap enam defendan, termasuk pencetak akhbar Suara Keadilan kerana didakwa menyiarkan artikel fitnah bertajuk ‘FELDA Bankrap’.

Plaintif menamakan Dr Wan Azizah dan bekas timbalannya, Dr Syed Husin Ali sebagai pemegang jawatan dalam PKR mengikut Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966, sebagai defendan pertama dan kedua.

Empat lagi defendan adalah penerbit akhbar itu, Pelita Koridor Sdn Bhd, pencetak, Percetakan NPK Sdn Bhd, editor, Dzulkarnain dan penulis artikel itu, Rusnizam Mahat.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa terbitan dan edaran dua artikel bertajuk ‘FELDA Bankrap’ dan ‘Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ dalam edisi akhbar itu bertarikh 22-29 Jun 2010 mengandungi perkataan fitnah.

FELDA diwakili peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala pihak defendan diwakili peguam Francis Pereira.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:14 AM