Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi yang licik menjalankan kegiatan samun terhadap penumpang di sekitar ibu negara berjaya ditahan berhampiran susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berdekatan Terminal Bersepadu Tasik Selatan, di sini, Khamis lalu.

Susulan tangkapan itu, polis menyelesaikan beberapa kejadian samun membabitkan penumpang teksi terutama warga asing di kawasan Kotaraya, Pudu Sentral dan Petaling Jaya.

Difahamkan, suspek mengugut penumpang warga asing dengan menggunakan pisau lalu memaksa penumpang menyerahkan wang dan barangan berharga sebelum mengarahkan mereka keluar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, suspek ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah ketika sedang melakukan rondaan di kawasan Kota Raya sebelum terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak kami cuba menahan teksi suspek, namun dia terus memecut kenderaannya menghala lebuh raya Sungai Besi.

“Anggota polis terus mengejar kenderaan suspek dan menahannya di jalan susur keluar ke Terminal Bersepadu Tasik Selatan,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:08 AM