Shah Alam: Habuan wang tunai berjumlah RM14,000 menanti pemenang pingat emas dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN 2014 (ASC) yang berlangsung di Hanoi, Vietnam, bermula hari ini hingga 29 Oktober ini.

Tawaran itu bagi meningkatkan semangat 51 peserta dalam kalangan belia berusia antara 18 hingga 22 tahun yang berlepas ke negara berkenaan semalam selepas majlis solat hajat dan penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), di sini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, negara menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pingat emas daripada 25 kategori yang disertai pada kejohanan kali ini.

“Selain pemenang pingat emas, kami berikan insentif kepada pemenang pingat perak (RM10,000), gangsa (RM5,000), pingat ‘medallion for excellence’ (RM2,000) dan juga peserta terbaik negara (RM2,000).

“Mereka juga (pemenang pingat) akan memperolehi Sijil atau Diploma Kemahiran Malaysia yang setara dengan pencapaian pingat masing-masing serta berpeluang mewakili negara ke Pertandingan Kemahiran Dunia yang dijadual berlangsung di Sao Paolo, Brazil, Ogos tahun depan,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis berkenaan di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Pang Chau Leong berkata, beliau yakin dengan kemampuan kontinjen negara pada tahun ini untuk mencapai sasaran 10 emas.

“Kami membuat pelbagai persediaan, antaranya menjalani latihan intensif secara berterusan selama setahun yang mana peserta dipilih adalah dalam kalangan yang terbaik serta pernah menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.

“Mereka turut mendapat latihan daripada pakar dalam bidang masing-masing, malah kita juga memberikan mereka persediaan dari segi mental dengan menyediakan pakar psikologi dan motivasi,” katanya.

Kontinjen Malaysia diwakili 200 orang dengan diketuai Ismail selaku Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:10 AM