FIRDAUS dan isteri melihat keadaan rumah mereka yang hangus terbakar.

Jelebu: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kakitangan FELCRA didiami mereka musnah dalam kebakaran di FELCRA Lakai, Simpang Durian, di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Firdaus Mohd Radzi, 32, yang bertugas sebagai Penyelia Ladang FELCRA di situ berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Zulhaizura Zainudin, 27, dan dua anak ke majlis kenduri satu kilometer dari rumahnya.

Katanya, ketika meninggalkan rumah pada jam 12.50 tengah hari, dia sempat memastikan semua palam peralatan elektrik yang tidak digunakan ditanggalkan daripada kotak suis kecuali peti sejuk.

Mohd Firdaus berkata, pada jam 1.25 petang, ibu mentua, Zaleha Nor Bidin, 50, datang mencarinya di majlis kenduri berkenaan untuk memberitahu rumahnya terbakar.

“Saya dan isteri bergegas pulang dan sebaik sampai, kami lihat api marak membakar rumah dan kereta Proton Iswara Aeroback kepunyaan ibu mentua yang diletakkan di hadapan rumah.

“Saya dan beberapa pekerja ladang warganegara Indonesia berusaha memadamkan api, namun tidak berjaya kerana tidak tahan dengan bahang panas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pertang Ismail Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera serta enam anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:10 AM