NAZARUL (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Latipah yang cacat sejak kecil sambil disaksikan Rosnah (dua dari kiri).

Dungun: “Demi kakak saya sanggup lakukan apa saja,” kata Rosnah Che Min, 38, yang sanggup mengorbankan kebahagiaan berumah tangga demi menjaga kakaknya Latipah, 48, yang cacat.

Rosnah yang tinggal di Kampung Sungai Buaya di sini, berkata, biarpun ramai lelaki menyatakan hasrat mengahwininya, dia terpaksa menolaknya dengan baik semata-mata mahu menjaga Latipah yang cacat anggota badan.

“Kakak saya cacat selepas diserang demam panas ketika kecil. Sejak itu dia tak boleh berjalan, hanya mampu berguling saja untuk bergerak selain mempunyai fikiran seperti kanak-kanak.

“Bagaimana saya nak kahwin, setiap pergerakan kakak terpaksa dibantu termasuk menyuap makan, mandi dan memakaikan pakaiannya. Saya tak sampai hati meninggalkan dia,” katanya ketika menerima kunjungan Presiden Gabungan Masyarakat Endah Terengganu (GAMET) Nazarul Amir Zainal Azam, semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menggalas tugas itu memandangkan tujuh lagi adik-beradiknya sudah berumah tangga dan tinggal berjauhan.

“Apabila ada kelapangan, mereka selalu pulang menjenguk kakak. Bagi saya yang masih bujang, wajarlah menggalas tugas ini demi kakak tersayang hingga akhir nyawa. Saya tak mahu kakak hidup bersendirian,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah memikirkan soal untuk berumah tangga kerana tahu kakaknya sangat susah untuk menguruskan diri sendiri kerana kedua kaki dan tangannya tidak dapat bergerak.

“Setiap pagi saya perlu mendukungnya ke bilik air memandikannya dan memakai pakaian sebelum memberinya makan itulah tugas saya setiap hari.

“Jika lambat memandikan kakak, dia akan bergolek sendiri ke bilik air dan keadaan lantai bilik air yang buruk menyebabkan badannya luka dan berdarah.

“Saya tak mampu membaiki bilik air kerana tidak mempunyai pendapatan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan memang tidak cukup untuk membaiki bilik air,” katanya.

Sementara itu, Nazarul Amir berkata, beliau terharu apabila seorang kontraktor yang enggan mendedahkan namanya menyatakan hasrat membaiki bilik mandi keluarga Latipah.

“Sifat kontraktor itu amat terpuji dan wajar dicontohi. Inilah peranan GAMET yang juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pengamal media Terengganu bagi menjadi saluran membantu golongan miskin dan anak yatim yang memerlukan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:09 AM