Nibong Teba: Seramai 11 beranak dari Ladang Transkrian di sini, hidup dalam keadaan serba kekurangan termasuk tidur dalam keadaan bersesak dalam sebuah rumah usang yang hanya memiliki dua bilik, sejak 13 tahun lalu, selain berkongsi hasil upah membasuh baju sebanyak RM250 setiap bulan bagi digunakan untuk membeli barangan keperluan harian.

Penghuni kediaman itu, M Janiffer, 26, berkata, dia merasa amat terharu setiap kali melihat wajah ibunya, M Mariamal, 53, yang menderita akibat kencing manis sehingga kaki kiri terpaksa dipotong dari paras lutut sejak dua tahun lalu dan kehidupan mereka dalam keadaan serba kekurangan itu.

Katanya, dia hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga, manakala dua adiknya, M Jason, 26, dan M John, 23, pula keciciran ketika di darjah lima dan enam menyebabkan mereka tidak mempunyai kelulusan, sekali gus menyukarkan mereka untuk memohon pekerjaan tetap.

“Akibat tidak mempunyai kelulusan tinggi, kami sukar mendapat pekerjaan. Namun, kerana semangat mahu menyara keluarga yang besar ini, saya dan adik-beradik melakukan apa yang terdaya termasuk mengambil upah membasuh baju dari beberapa rumah berhampiran.

“Adik saya pula mengambil upah melakukan kerja kontrak, namun pendapatan mereka tidak menentu dan bergantung kepada keperluan kontraktor yang akan menghubungi mereka sekiranya ada pekerjaan,” katanya.

Selain tidak mempunyai kelulusan tinggi, Jason yang juga kembarnya turut berhadapan masalah untuk bertutur dan keadaan itu menambahkan lagi kesukaran adiknya itu mendapat kepercayaan daripada majikan.

Janiffer berkata, selain tiga adik dan ibunya, rumah berkenaan turut menjadi tempat berlindung suami dan empat anaknya serta bapa saudaranya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU).

Sekiranya tidak bekerja, empat beradik itu akan menghabiskan masa menguruskan ibu mereka yang memerlukan penjagaan rapi terutama membabitkan urusan harian seperti mandi dan makan.

“Berikutan penyakit kencing manis dihidapi semakin serius, doktor terpaksa memotong kaki kiri ibu kami dari paras lutut ke bawah dua tahun lalu dan sejak itu, saya serta adik terpaksa membantu semua pergerakannya.

“Penglihatan ibu semakin kabur akibat kencing manis dan beratnya yang melebihi 100 kilogram (kg) menyebabkan kami terpaksa bersama-sama untuk mengusung ibu setiap kali dia perlu ke bilik air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:11 AM