Alor Gajah: Seorang lelaki parah selepas tercampak keluar dari kenderaannya dalam kemalangan berhampiran sebuah klinik kerajaan di Jalan Lubok China-Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 5.15 petang itu, kereta Hyundai Ascent dipandu seorang lelaki yang identitinya belum dikenali dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori membawa muatan besi buruk dipandu Woo Chin Chai, 52.

“Ketika kejadian, mangsa yang memandu sendirian dipercayai terlelap sebelum terjaga selepas kereta dipandunya melencong ke kanan jalan dan hilang kawalan lalu merempuh lori dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali dan masuk semula ke jalan asal menuju ke pekan Masjid Tanah.

“Mangsa cedera di kepala dan badan selepas dia tercampak keluar dari kereta ke bahu sebelah kiri jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Woo yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia menyedari sebuah kereta dari arah Masjid Tanah masuk ke laluan bertentangan secara tiba-tiba sebelum dia memberi isyarat lampu tinggi dan menekan brek.

“Saya tidak sempat mengelak kerana di sebelah kiri terdapat beberapa motosikal manakala di sebelah kanan pula ada kenderaan dari arah bertentangan ketika kereta dipandu mangsa muncul secara tiba-tiba.

“Saya memberi lampu tinggi dan membunyikan hon sambil menekan brek secara mengejut, malangnya kereta dipandu mangsa merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori saya.

“Kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum saya melihat mangsa tercampak ke seberang jalan ketika lori yang saya pandu terbabas ke kanan jalan,” katanya yang cedera di tangan kanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kemalangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:12 AM
Kabinet Malaysia 2020