Nibong Tebal: Sumbangan pelbagai barangan keperluan harian, makanan serta kerusi roda kepada keluarga M Mariamal, 53, dari Ladang Transkrian di sini, semalam membuktikan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersedia membantu sesiapa saja yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.

Pengerusi TKHM Othman Mamat berkata, keluarga wanita yang kaki kirinya terpaksa dipotong dari paras lutut, dua tahun lalu kerana kencing manis itu adalah keluarga India kedua dibantu menerusi program berkenaan selepas bantuan kepada satu keluarga di Melaka sebelum ini.

“Bantuan kepada keluarga Mariamal ini membuktikan kami tidak pilih bangsa atau agama, sebaliknya ia diberikan kepada sesiapa saja memerlukan dan layak.

“Hari ini, selain keluarga Mariamal, kami turut menyerahkan bantuan kepada ibu tunggal, Asiah Ariffin, 57, yang tinggal seorang diri di rumah pusaka ibunya di Jalan Hutan Lipur, Sungai Buaya dan kedua-dua keluarga itu dipilih menerima sumbangan menerusi program TKHM bulanan,” katanya.

Othman yang juga Pengarang Eksekutif (Edisi Hujung Minggu dan Rencana) berkata, kedua-dua keluarga berkenaan dibantu sempena perlumbaan Sirkit 3 Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Kompleks Sukan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal hari ini.

Beliau berkata, peruntukan untuk program TKHM bulanan disediakan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

“Setiap bulan, kami pilih satu keluarga yang akan menerima bantuan selepas kisah kepayahan hidup mereka disiarkan di Harian Metro menerusi ruangan Metro Prihatin.

“Kami akan terus membantu golongan yang memerlukan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:19 AM