JOHAN (dua dari kiri) menerima kemeja-T ‘Don’t Mess With Melaka’ daripada Idris (dua dari kanan) ketika melawat tapak Karnival Jom Heboh di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong.

Melaka: Kerajaan negeri bersetuju menjalin kerjasama dengan Media Prima Berhad (MPB) bagi mempromosi sejarah negeri itu dalam bentuk penyiaran artikel serta dokumentari.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, kerjasama dengan semua rangkaian televisyen, radio dan akhbar di bawah MPB itu dianggap usaha terbaik memaparkan sejarah serta lokasi pelancongan di Melaka yang mungkin tidak pernah diketahui umum.

Katanya, sebagai sebuah syarikat media terbesar negara, MPB mampu menjadi medium paling berkesan mempromosikan Melaka baik dalam mahupun di luar negara.

“Saya bersetuju menjadi rakan kongsi untuk mempromosikan Melaka termasuk sejarah hubungan Melaka dengan China, kedatangan Puteri Hang Li Poh, Baba Nyonya dan pelbagai lagi yang boleh meletakkan Melaka sebagai negeri yang sentiasa dikunjungi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak Karnival Jom Heboh di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, semalam.

Ketibaan beliau bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah disambut Pengerusi MPB Tan Sri Johan Jaaffar, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB Ahmad Izham Omar dan Pengerusi Eksekutif Perbadanan Stadium Melaka Datuk Yusoff Mahadi.

Dalam lawatan selama hampir sejam itu, Idris turut melawat beberapa gerai jualan dan pameran termasuk gerai The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) selain slot rancangan TV3, ntv7, 8TV dan TV9 serta beberapa stesen radio MPB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:09 AM