ANGGOTA bomba memadam kebakaran menggunakan kren.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Sebuah pusat penghasilan barangan tekstil di Jalan Pelabur B 23/B, Seksyen 23, musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 2 pagi itu memusnahkan tingkat tiga bangunan berkenaan yang dijadikan pusat penghasilan tekstil dan kain.

Namun kecekapan 33 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal kebakaran merebak ke bangunan bersebelahan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Mohd Khairi Daud berkata, bangunan yang dijadikan tempat penghasilan barangan tekstil itu musnah dan ketika bomba tiba, api sudah marak membakar struktur bangunan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan kebakaran berkenaan jam 2.15 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota bomba dari BBP Shah Alam tiba tiga minit kemudian.

Menurutnya, disebabkan api yang marak dengan begitu cepat, selain bimbang kebakaran akan memusnahkan bangunan bersebelahan, pihaknya turut meminta bantuan BBP Kota Anggerik dan Petaling Jaya dalam operasi pemadaman yang selesai jam 3.16 pagi.

“Api marak dengan cepat disebabkan kain banyak dalam premis.

“Bagaimanapun bomba dapat memadamkan kebakaran dari merebak memusnahkan premis berdekatan dan penduduk yang menetap di asrama pekerja bersebelahan tempat kejadian juga berjaya menyelamatkan diri,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Mohd Khairi berkata, sehingga kini pihaknya masih tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian yang dialami.

kerana pemilik premis berkenaan tiada di tempat kejadian ketika kebakaran.

Menurutnya, pihak forensik kebakaran juga sudah dipanggil ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:12 AM