WAKIL penunggang motosikal berkuasa tinggi menyerahkan sumbangan kepada Azizah.

Butterworth: Tersentuh hati dengan keadaan tiga beradik lumpuh di Kampung Telok, Sungai Dua, dekat sini, 40 ahli Butterworth Bikers Club dan Kelab GTROC Kuala Lumpur turun padang menghulurkan sumbangan kepada mereka, semalam.

Sumbangan itu sempena program kebajikan dua kelab berkenaan pada setiap hujung minggu bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Sumbangan RM6,060 hasil kutipan dalam kalangan ahli kelab diserahkan kepada Azizah Mohamad, 51, yang menjaga adik dan dua kakaknya yang lumpuh sejak kecil akibat demam panas iaitu Zaiton, 60, Habesah, 55, dan Noorlia, 47.

Sebelum ini, ibu mereka, Zainab Othman, 78, menguruskan keperluan tiga beradik berkenaan namun warga emas berkenaan terlantar sejak setahun lalu akibat uzur dan memerlukan penjagaan rapi.

Presiden Butterworth Bikers Club Ar Rashid Ramli berkata, pihaknya rasa terpanggil untuk membantu tiga beradik terbabit terutama selepas penderitaan mereka disiarkan media.

Beliau berkata, selain ahli dari Pulau Pinang, pihaknya bekerjasama dengan ahli GTROC Kuala Lumpur untuk membuat kutipan sebelum disumbangkan kepada tiga beradik berkenaan.

“Tiga beradik berkenaan kini dijaga saudara mereka, Azizah yang tidak mempunyai sumber pendapatan. Jadi, sumbangan kami diharapkan meringankan sedikit bebannya membeli keperluan kepada adik dan dua kakaknya,” katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan rutin Azizah dibantu adiknya Abidin, 50, seawal jam 6 pagi dengan ‘mengheret’ seorang demi seorang adik dan dua kakak mereka ke bilik air untuk dimandikan sebelum memakaikan lampin pakai buang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:17 AM