Kota Kinabalu: Seorang daripada enam individu yang menjadi buruan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi membantu siasatan beberapa siri kejadian jenayah rentas sempadan, akhirnya tampil menyerah diri di Balai Polis Semporna, dekat sini, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Abdul Rashid berkata, individu dikenali sebagai Wahab Atab, 34, ditahan kira-kira jam 11.50 pagi sebaik tiba di balai polis berkenaan.

“Lelaki ini berbuat demikian selepas mendapati wajahnya menjadi antara enam individu dikehendaki yang tersiar melalui media.

“Sehubungan itu, dia tampil menyerahkan diri bagi membantu siasatan berhubung kejadian jenayah sekitar perairan pantai timur negeri ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Rashid berkata, berikutan perkembangan itu, ESSCOM kini memburu lima lagi lelaki termasuk dua beradik dikenali sebagai Badong, Nikson, Ali @ Brown, Alex dan Bocoi yang juga dikenali sebagai ‘Komander Black’.

“Semua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, sembilan individu termasuk dua wanita lingkungan 40-an yang ditahan dalam satu operasi khas di perkampungan air, masih disiasat.

“Sehingga kini, kami masih menjalankan siasatan termasuk hubungan mereka terhadap individu yang ditembak mati dalam kejadian di Laut Bangau-Bangau, kelmarin,” katanya.

“Sehingga kini, siasatan mengenai identiti mangsa yang ditembak mati masih dijalankan dan ESSCOM turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina berhubung insiden ini,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, seorang lelaki lingkungan 40-an maut selepas berbalas tembak dengan pasukan keselamatan ketika cuba melarikan diri.

Suspek yang menggunakan Revolver .38 Special dikatakan melepaskan beberapa das tembakan terhadap pasukan keselamatan sebelum Unit Tindakan Khas (UTK) membalas tembakan yang tepat mengenai kepala juragan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:17 AM