TIGA daripada lima suspek yang ditahan selepas menyamun kedai serbaneka.
Oleh Na'imah Mohamed

Kapar: Sekumpulan lima penjenayah 'berputih mata' apabila mereka diberkas polis hanya beberapa minit selepas merompak sebuah premis serbaneka di Jalan Sungai Kapar Indah di sini, kelmarin.

Difahamkan penjenayah bersenjatakan parang hanya sempat melarikan diri sehingga pintu depan premis sebelum ditahan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika pekerja di premis itu sedang bersiap untuk menutup kedai.

"Tiba-tiba lima lelaki bersenjatakan parang menyerbu masuk ke dalam kedai dan memaksa pemilik kedai menyerahkan wang tunai manakala suspek lain mengambil beberapa botol minuman keras," katanya.

Mohamad Shukor berkata, dua pekerja kedai itu kemudian menjerit meminta tolong menyebabkan semua suspek berusia antara 23 dan 26 tahun itu panik sebelum melarikan diri.

Katanya, kejadian itu disedari sepasukan polis peronda yang kebetulan sedang membuat rondaan sebelum menahan semua suspek.

"Polis kemudian merampas empat parang, enam botol arak serta sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan dicuri di Bandar Baru Klang baru-baru ini.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah selain pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat," katanya.

Tambahnya, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:22 AM