Kuala Lumpur: Tindakan seorang wanita menegur suaminya yang menjalinkan hubungan songsang dengan teman lelaki mengundang padah apabila dia dibelasah teruk dengan kayu cota.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, mangsa berusia 22 tahun itu bersama suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta.

Sumber polis berkata, wanita terbabit kemudian meminta penjelasan daripada lelaki itu yang mempunyai seorang kekasih lelaki.

Menurutnya, mangsa yang kecewa dengan tindakan suaminya itu menasihati lelaki itu berubah demi rumah tangga mereka.

“Bagaimanapun suami mangsa berusia 20-an mengamuk sebelum menghentikan keretanya di tepi jalan di Bandar Salak Selatan di sini.

“Belum sempat mangsa berbuat apa-apa, suspek terus mengambil kayu cota sebelum memukul di kepala isterinya itu bertalu-talu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek yang terus membelasah isterinya di dalam kereta tanpa henti selama beberapa minit.

“Selepas puas membelasah mangsa, suspek kemudian terus pulang ke rumah dan mengugut isterinya itu tidak membuat laporan polis.

“Jika mangsa berdegil, dia akan mengupah kumpulan samseng untuk mencederakan isterinya itu. Suspek kemudian keluar semula dari kediamannya,” katanya.

Bimbang kejadian sama berulang, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan tindakan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:08 AM