Antara warga asing yang ditahan dalam Operasi bersepadu di Jalan Dato Harun, Sungai Kembong, Pulau Indah
Oleh Nur Saliawati Salberi

Pelabuhan Klang: Bukan sahaja memiliki MyKad palsu, malah tiga pendatang tanpa izin turut dikesan menggunakan kad nama milik seorang pegawai polis yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi mengelak diberkas pihak berkuasa.

Difahamkan kad nama milik pegawai polis berpangkat Inspektor itu diperoleh suspek dengan membayar wang sebanyak RM2,000.

Semua pendatang tanpa izin itu diberkas kira-kira jam 2 pagi dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Selangor di sebuah rumah kongsi di Jalan Dato Harun Sungai Kembong, Pulau Indah di sini.

Siasatan mendapati ketiga-tiga pendatang tanpa izin warga Filipina ini memiliki MyKad palsu selain 10 keping kad nama milik pegawai polis berkenaan.

Walaupun mengaku berasal dari Semporna, Sabah, namun pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek adalah rakyat Filipina berdasarkan pasport ditemui.

Salah seorang suspek ditahan, Munir Abdul, 26, mengaku hanya membayar RM400 dan memberi sekeping gambar berukuran pasport kepada seorang individu untuk membeli MyKad.

Dia yang berketurunan Suluk mengaku menggunakan Mykad sementara dari Sabah untuk datang Semenanjung Malaysia.

“Ejen minta tidak banyak, hanya RM400 dan sekeping gambar. Apabila kami sudah sampai semenanjung kad pengenalan kami sudah siap,” katanya.

Berhubung kad nama milik pegawai polis yang ditemui di biliknya semasa serbuan dilakukan, lelaki berusia 26 tahun itu memaklumkan kad itu adalah sebagai perlindungan jika ditahan pihak berkuasa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:08 AM