Kuala Lumpur: Seramai 167 rakyat Malaysia terbabit dalam kegiatan militan luar negara sejak Disember 2001.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, 39 daripadanya terbabit dalam kumpulan Daulah Islamiah (IS) di Syria dan Iraq.

Sehubungan itu, kerajaan menyediakan Kertas Putih untuk memaklumkan kepada rakyat berkaitan ancaman kegiatan keganasan yang membabitkan rakyat Malaysia tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, saya tidak bercadang untuk mendedahkan secara terperinci maklumat pembabitan mereka kerana dikhuatiri mengganggu siasatan yang dijalankan pihak polis,” kata beliau dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang mahu tahu jumlah rakyat Malaysia menyertai kumpulan militan, selain pandangan kerajaan dan tindakan yang akan diambil terhadap golongan ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak pernah mengiktiraf mana-mana entiti, pertubuhan atau pakatan yang mempunyai elemen militan.

Malah, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang disyaki boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Bahkan, tegasnya, sekiranya ada bukti mereka terbabit dengan mana-mana aktiviti berbentuk militan, tindakan tegas diambil mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

“PDRM turut menjalinkan kerjasama rapat dengan agensi perisikan asing untuk mengekang permasalahan ini melalui kerjasama berterusan di samping bertukar maklumat risikan dengan agensi keselamatan negara luar khususnya ASEAN,” katanya.

Katanya, pada masa sama kerajaan melalui Jabatan Imigresen boleh menyenarai hitam nama mereka yang disyaki terbabit dalam Senarai Syak Jabatan Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:13 AM