KAKITANGAN TNB bertungkus-lumus melakukan kerja naik taraf bekalan elektrik di darat dan laut untuk kemudahan penduduk Pulau Tioman.

Rompin: Keperluan bekalan elektrik bagi lebih 3,000 penduduk Pulau Tioman, dekat sini, dapat dipertingkatkan menerusi projek naik taraf bekalan elektrik bernilai RM9.7 juta yang dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.

Projek yang dilaksanakan sejak 2013 itu berjalan lancar mengikut jadual dan kini mencapai kemajuan sehingga 95 peratus.

Tujuh peringkat dilaksanakan dan pada masa ini hanya tiga projek masih dalam proses pelaksanaan iaitu penambahbaikan sistem suabalik Kampung Labir-Kampung Nipah, baik pulih bangunan dan sistem suabalik dari Jabatan Bekalan Air (JBA) ke Kampung Juara.

Menerusi pelaksanaan projek itu, TNB Pulau Tioman mempunyai perkakasuis yang terkini bagi memastikan sistem bekalan elektrik di Pulau Tioman mempunyai gangguan yang minimum.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Pahang, Datuk Sharuddin Mohd Simin berkata, walaupun kos operasi semasa mencecah RM11 juta berbanding hasil jualan iaitu lebih RM4.9 juta, pihaknya komited menyediakan kemudahan asas itu.

“Projek dilaksanakan ini membabitkan tujuh kategori iaitu menaik taraf perkakasuis Stesen Janaelektrik Tekek, sistem suabalik JBA ke Kampung Tekek, sistem suabalik Kampung Labir-Kampung Nipah, rombak rawat jana kuasa Wartsila, rombak rawat jana kuasa ‘Caterpillar’, menukar paip bahan api diesel dan baik pulih bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau kerja menaik taraf bekalan elektrik di Kampung Nipah, Pulau Tioman, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Mohd Johari Hussain.

Sharuddin berkata, pada masa ini, bekalan elektrik yang dijana tiga stesen iaitu jana kuasa elektrik Kampung Tekek, jana kuasa Kampung Genting dan mini hidro Mentawak adalah mencukupi dengan membekalkan 9.5 mega watt (MW) elektrik.

Dalam pada itu, pihaknya mengadakan program penggambaran ‘Unsung Heroes TNB’ dengan menjemput pengamal media melaporkan secara langsung cara kerja warga kerja TNB di pulau itu.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, pihaknya menyambut baik usaha dilakukan TNB dan Pulau Tioman yang kini memiliki janaan dan simpanan bekalan elektrik mencukupi.

Usaha dijalankan TNB itu berjaya dilaksanakan menerusi komitmen tinggi pegawai dan kakitangan syarikat terbabit biarpun berdepan cabaran hebat terutama membabitkan topografi pulau itu yang berbukit-bukau serta pemasangan kabel dan tiang elektrik secara manual.

Tukang Tingkatan Kanan TNB Alias Abdullah, 58, yang sudah berkhidmat dengan TNB sejak 36 tahun lalu berkata, segala rintangan ketika pemasangan dapat diatasi dengan matlamat supaya penghuni pulau dapat menikmati kemudahan elektrik setaraf dengan penduduk di tanah besar.

“Semua itu bukan halangan kerana kami berasa puas apabila penduduk dapat nikmati bekalan elektrik dan bersedia dipanggil 24 jam sehari jika ada kecemasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:18 AM