KEADAAN motosikal remuk manakala mayat mangsa tercampak dekat tali air.
Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: “Saya tidak sempat mengelak motosikal yang berhenti di kiri jalan kerana tayar kereta pancit lalu merempuh motosikal berkenaan,” kata pemandu kereta Proton Iswara yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 125.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Permatang Buloh, di sini, yang meragut nyawa seorang warga Myanmar, petang semalam.

Pemandu kereta yang berusia 20-an dan enggan dikenali itu berkata, dalam kejadian jam 1 petang itu, dia dalam perjalanan dari Sungai Dua ke pekan ini apabila tayar kiri depan keretanya pancit.

Katanya, dia cuba memperlahankan kenderaan sebaik tayar pancit, namun stereng kereta menjadi berat menyebabkan keretanya memasuki lorong kecemasan.

“Pada masa sama, seorang penunggang motosikal tiba-tiba berhenti di kiri jalan sambil menggunakan telefon bimbitnya.

“Saya tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal berkenaan menyebabkan penunggangnya tercampak beberapa meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Berdasarkan lesen memandu, menunggang motosikal Honda Future itu dikenali sebagai Nyi Nyi Tun, 40-an. Dia tercampak beberapa meter sebelum terjatuh ke dalam tali air di tepi lebuh raya manakala motosikalnya tersangkut di bawah penghadang jalan.

Orang ramai yang melihat kejadian membantu mengangkat mangsa dari tali air berkenaan sebelum pegawai perubatan dari Hospital Seberang Jaya yang membuat pemeriksaan, mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

Seorang saksi berkata, mangsa berada dalam tali air dalam keadaan tertiarap selama beberapa minit sebelum dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:04 AM