Putrajaya: Beberapa penambahbaikan daripada segi penyediaan pusat pemindahan sudah dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghadapi musim banjir tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Norani Mohd Hashim berkata, antara penambahbaikan termasuk memperluaskan penggunaan bangunan kerajaan seperti pusat latihan dan kompleks sukan sebagai pusat pemindahan selain tidak tertumpu kepada bangunan sekolah serta dewan orang ramai sahaja.

“Kita juga menggunakan pusat pemindahan berkapasiti besar yang dapat menampung antara 2,000 hingga 5,000 mangsa pada satu-satu masa, malah kali ini kita turut menggunakan bangunan milik swasta atau persendirian sebagai pusat pemindahan.

“Penggunaan gudang atau kilang sebagai pusat pemindahan satu langkah dalam melaksanakan penambahbaikan itu dengan menggunakan bangunan bersesuaian di kilang itu seperti ruang dewan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Norani berkata, JKM sudah mengenal pasti 4,961 pusat pemindahan yang mempunyai kapasiti menampung sehingga 1,342,302 mangsa.

Katanya, perancangan sudah dibuat bagi menjamin stok makanan dan keperluan bencana mencukupi.

Menurutnya, JKM turut menambah 10 peratus stok barangan tahun ini sebagai langkah meningkatkan persediaan dan kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.

“Pertambahan stok ini seiring langkah JKM memastikan bekalan di lima Depoh Simpanan Keperluan Bencana berada pada tahap optimum.

“Lima depoh ini terletak di Bedong (Kedah), Sungai Buloh (Selangor), Kemumin (Kelantan), Marang (Terengganu) dan Muar (Johor) serta pertambahan bilangan pangkalan hadapan dari 513 kepada 569,”katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memastikan peruntukan dan stok keperluan bencana di lima depoh simpanan ini mencukupi dan bersedia diagihkan.

Norani berkata, bagi melancarkan proses persediaan menghadapi banjir, beberapa jawatan kuasa di pusat pemindahan turut diwujudkan iaitu Jawatankuasa Pendaftaran Mangsa, Bekalan Keperluan, Makanan, Kebersihan, Keselamatan dan Kesihatan, Aktiviti serta Sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:18 AM