Sahabat Zakat menunjukkan kad Touch ‘n Go di Perasmian Program Jom Jadi Sahabat Zakat.
Oleh Hamizah Badiran

Berzakat wajib bagi setiap Muslim apabila cukup syaratnya. Setiap individu yang memiliki harta kekayaan perlu menyedari rezeki dianugerahkan Allah sebahagiannya adalah milik orang lain yang perlu dizakatkan.

Mengeluarkan zakat mendapat berkat dan menyucikan harta serta jiwa. Itu antara tujuan syariat zakat kepada umat Islam selain mengimbangi jurang golongan kaya dan miskin.

Hikmah berzakat memberi kesan baik kepada penerima yang berasa mereka tidak diabaikan. Melalui zakat yang dikumpulkan, ia disalurkan bagi membela nasib golongan asnaf.

Malah, kedudukan zakat amat istimewa dalam rukun Islam. Ia tanggungjawab ummah bagi menguatkan sosio ekonomi umat.

Malaysia cukup bertuah kerana kesedaran berzakat cukup tinggi dalam kalangan penduduknya walaupun tidak dinafikan masih terdapat segelintir pihak yang lalai ataupun sengaja mengelak dari menunaikan rukun Islam ketiga ini kerana faktor sayangkan wang mereka.

Atas sebab itu, Pusat Pungutan Zakat Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) melangkah setapak lagi dalam melebarkan dakwah zakat dengan mengambil inisiatif kerjasama strategik bersama pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) menerusi Program Jom Jadi Sahabat Zakat.

Program berkenaan membolehkan orang ramai menunaikan rukun Islam itu dengan mudah selain mengumpul sebanyak mungkin prospek untuk bergelar pembayar zakat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai zakat dengan menjadi Sahabat Zakat di sekitar Wilayah Persekutuan, Putrajaya serta Labuan.

Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Che Mat Che Ali berkata, kerjasama itu menjadi alternatif terkini bagi mendekatkan PPZ-MAIWP dengan masyarakat dalam usaha memperjelaskan jenis zakat yang wajib dibayar.

“Untuk menjadi Sahabat Zakat, mereka tidak dikenakan sebarang caj kerana pendaftaran adalah percuma. Pada kerjasama kali ini, program menjadi lebih menarik kerana setiap Sahabat Zakat yang mendaftar turut akan menerima kad Touch ‘n Go bernilai RM5.

“Pihak TNGSB menaja 4,000 kad untuk program ini, manakala nilai RM5 di dalam kad PPZ-MAIWP Touch ‘n Go pula ditaja oleh kami. Selepas ini, kami juga akan memberikan 14,000 lagi keping kad Touch ‘n Go untuk pembayar zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Tapak Wakaf Orang Buta, Jalan Masjid India, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Khidmat Pelanggan TNGSB Rohaya Hassan, Pengurus Besar Operasi PPZ-MAIWP Mohammed Hassan dan Pengurus Cawangan Pejabat Cawangan Bukit Bintang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Muhammad Asrak Mohd Osman.

Menurutnya, selain program sebegini, PPZ-MAIWP juga menyediakan promosi membayar zakat menerusi van bergerak PPZ di lokasi tertentu dalam usaha membantu memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai zakat atau mahu menunaikan zakat.

PPZ-MAIWP turut meluaskan operasi termasuk mengadakan promosi di pasar malam, pusat beli belah, syarikat korporat, agensi kerajaan dan sebagainya tanpa mengira masa bagi menyebarkan maklumat mengenai kepentingan mengeluarkan zakat dalam kehidupan seorang Muslim.

Che Mat berkata, jumlah kutipan zakat pada tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu 16 peratus hingga 21 peratus berbanding tahun lalu.

“Selain itu, kami menjangkakan sekurang-kurangnya 85 peratus individu yang layak membayar zakat akan menunaikan tanggungjawab mereka menjelang hujung tahun ini. Saya turut menjangkakan dalam tempoh lima tahun lagi iaitu pada tahun berakhir 2020, kita mampu mengutip zakat berjumlah RM1 bilion.

“Sasaran itu dilihat mampu dicapai dengan adanya program seperti ini selain sokongan daripada warga kerja PPZ-MAIWP, syarikat korporat, persendirian, agensi kerajaan dan sebagainya.” katanya.

Sementara itu, dengan menjadi Sahabat Zakat, mereka akan turut mendapat cenderahati eksklusif, cabutan bertuah di lokasi kempen, ucapan hari lahir, ucapan sambutan hari kebesaran Islam, kata-kata hikmah secara berkala menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), menyertai pelbagai aktiviti karnival dakwah PPZ-MAIWP bersama selebriti dan sebagainya.

PPZ-MAIWP menyasarkan 5,000 orang lagi bakal menjadi Sahabat Zakat melalui empat kempen usaha sama hingga 2015.

Cara untuk menyertai Sahabat Zakat amat mudah. Pendaftaran boleh dibuat dengan melayari lam web www.zakat.com.my atau kunjungi kaunter PPZ-MAIWP dan kaunter van bergerak berhampiran.

Bagi sebarang maklumat lanjut berkaitan kempen yang berlangsung, hubungi talian zakat 1-300-88-5757.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:12 AM