SEBAHAGIAN murid membaca al-Quran pada Majlis Khatam al-Quran Perdana.

Kuala Lumpur: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi Sekolah Rendah Agama (SRA) di Wilayah Persekutuan kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan peratus kelulusan keseluruhan 91 peratus pada tahun ini.

Daripada 6,031 murid yang menduduki peperiksaan itu pada Oktober lalu membabitkan 73 SRA di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, 564 calon mendapat keputusan 7A dan 295 calon mendapat 6A.

Pengarah JAWI, Paimuzi Yahya berkata, peratus keseluruhan UPSRA pada tahun ini meningkat dua peratus berbanding tahun lalu iaitu hanya mencatatkan 89 peratus saja.

Menurutnya, peningkatan itu memberi petanda positif kepada perkembangan sistem pendidikan di SRA kerana ia membuktikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan pada masa kini.

“Peratus kelulusan bagi mata pelajaran al-Quran adalah 100 peratus, Tajwid ( 87 peratus), Tauhid ( 89 peratus), Feqah ( 91 peratus), Akhlak ( 92 peratus), Siraj ( 80 peratus) dan Bahasa Arab ( 82 peratus).

“Tahniah kepada semua atas kejayaan ini, walaupun begitu, ukuran pencapaian yang lebih penting adalah pembentukan sahsiah diri, sejauh mana murid ini dapat menghayati dan mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian mereka,” katanya ketika Majlis Khatam Al-Quran Perdana dan Pengumuman Keputusan UPSRA 2014/1436H peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI, Che Hussin Isa, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAWI, Ahmad Rajiun Abu Bakar, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Zakaria Isa serta Ketua Penolong Kanan Bahagian Pelajaran JAWI, Azizah Che Hassan.

Pada majlis sama, 3,000 murid daripada SRA dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Wilayah Persekutuan dipilih menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana itu.

Paimuzi berkata, program tahunan anjuran JAWI itu menghimpunkan murid Tahun 6 yang dikenalpasti membaca al-Quran dengan baik dan lancar.

“Sebenarnya jumlah murid khatam al-Quran melebihi angka tersebut, namun pihak urusetia menetapkan kualiti lebih diutamakan berbanding kuantiti sebagai syarat penyertaan program ini.

“Pada hemat saya, ini adalah satu usaha murni memuliakan al-Quran yang sentiasa menunjukkan jalan kebenaran dan panduan hidup umat Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:12 AM