Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya : Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, kaedah berkenaan sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sedia ada sejak Julai 2010.

“Melalui pengapungan terkawal purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya.

“Ini bermakna, sekiranya harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat dan begitu juga sebaliknya,” katanya pada sidang media Pelaksanaan Pengapungan Terkawal Bagi Petrol RON95 dan Diesel di sini, semalam

Pada ketika ini, harga runcit bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel ialah RM2.20 seliter.

Hasan berkata, harga runcit produk petroleum di negara ini ditentukan melalui kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) sejak tahun 1983.

Katanya, melalui APM, kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu iaitu perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.

“Sebagai contoh dari 1 hingga 19 November, purata harga RON95 di bawah APM menurun kepada RM2.27 seliter dan lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter.

“Dalam hal ini, kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 31 November dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya trend itu berlarutan, dijangkakan harga runcit RON95 bagi Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM.

Kerajaan mengikuti perkembangan pasaran harga produk kos setiap masa dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.

“Keputusan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON97.

“Langkah ini membuktikan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan pengapungan terkawal ini tidak bermakna kerajaan memansuhkan terus subsidi petrol dan diesel.

“Buat masa sekarang pendekatan kami adalah dalam konteks apungan berdasarkan harga petrol pada akhir November, dan harga pada awal Disember juga bergantung kepada keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 27 November ini,”katanya.

Katanya, kerajaan masih mengkaji mengenai cadangan memperkenalkan satu mekanisma baru penjualan petrol dan diesel dibawah program rasionalisasi subsidi yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya masih menerima cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk kajidan yang dilakukan lebih 20 syarikat minyak dan gas.

Mekanisma yang dicadangkan akan dibawa kepada panel dari kementerian dan pakar sebelum keputusan dibuat Kementerian Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:12 AM