MOHD Isa (tengah) bersama kanak-kanak tabika pada majlis penyampaian sijil dan konvokesyen.

Jempol: FELDA menyokong cadangan mewartakan 856,954 hektar tanah rancangan di seluruh negara sebagai rizab Melayu.

Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, keputusan berkenaan bergantung kepada kerajaan negeri sekiranya berhasrat berbuat demikian.

Menurutnya, pihaknya menyokong penuh cadangan itu dan pastinya akan turut dipersetujui peneroka.

“Dalam beberapa mesyuarat, kami pernah membangkitkan perkara itu dan nampaknya ada negeri yang berbuat demikian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis konvokesyen dan penyampaian sijil Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) FELDA Raja Alias 3, di sini, semalam.

Mohd Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, bagi peneroka bukan Melayu di tanah rancangan FELDA, mereka tidak terbabit dengan keputusan yang dibuat kerajaan negeri.

“Mereka (peneroka bukan Melayu) jangan dengar cakap orang yang tanah mereka juga dimasukkan sebagai rizab Melayu, itu tidak benar sama sekali,” katanya mengulas langkah kerajaan negeri Johor yang akan mewartakan tanah rancangan FELDA dan FELCRA di negeri itu sebagai rizab Melayu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menggulung perbahasan mesyuarat kedua (bajet 2015) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-13 di Kota Iskandar, dipetik berkata, langkah mewartakan tanah berkenaan antara langkah proaktif kerajaan negeri melindungi dan mempertahankan tanah rizab Melayu di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:06 AM