mayat Eng ditemui lemas di dasar kolam Kompleks Renang MBMB, Banda Hilir, Melaka.

Melaka: Kegembiraan sepasang kekasih beriadah sambil berenang di kolam Kompleks Renang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di dasar kolam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mayat Eng Che Huan, 35, dari Ayer Hitam, Johor ditemui di dasar kolam itu oleh penyelamat selepas didapati tidak bergerak pada kedalaman empat meter.

Difahamkan, mangsa dipercayai masuk ke kompleks itu bagi sesi jam 7 malam hingga jam 8.30 malam dan ketika kejadian terdapat tiga penyelamat bertugas di kolam berkenaan, manakala 100 tiket masuk dibeli pengunjung pada sesi berkenaan.

Adik mangsa, Eng Che Yong, 33, berkata abangnya yang bekerja sebagai jurujual dan jurulatih karate ke bandar ini bersama kekasihnya sejak Rabu lalu atas urusan kerja.

“Abang sangat suka berenang, ke mana sahaja dia pergi pasti dia tidak melepaskan peluang untuk berenang. Dia dan kekasihnya juga sepatutnya pulang ke Johor hari ini (semalam).

“Saya diberitahu kekasih abang hanya menyedari kejadian selepas keluar dari bilik air dan mendapati abang terbaring di tepi kolam sambil diberikan bantuan pernafasan (CPR),” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Menurutnya, usaha menyelamatkan abangnya yang juga anak sulung daripada empat beradik itu gagal sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi selepas dihubungi.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, susulan kejadian operasi kompleks renang itu dihentikan serta-merta dan beroperasi semula seperti biasa pada hari ini. Beliau turut mewakili seluruh warga MBMB mengucapkan takziah buat keluarga mangsa.

Kejadian lemas itu turut disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:14 AM