NUR Auni Atieyah, 4 bulan, menghidap jantung berlubang, tekanan paru-paru dan sindrom down dipangku ibunya, Noraidah Yusof.
Oleh Norizzah Baharudin

Alor Gajah: “Kebelakangan ini, Auni kerap muntah melalui hidung dan batuk selepas makan serta tercungap-cungap sebelum dimasukkan ke wad Hospital Melaka,” demikian keluh kesah seorang ibu, Noraidah Yusof, 36, yang dikurniakan bayi yang perempuan menghidap pelbagai sakit kronik.

Noraidah dan suaminya, Mohd Afdzan Faizal Kamal Ridwan, 37, kini buntu mengumpul wang bagi menanggung kos rawatan penyakit anak bongsu mereka, Nur Auni Atieyah, empat bulan, yang menderita sakit jantung berlubang, tekanan paru-paru dan sindrom Down sejak lahir.

Nur Auni Atieyah, bayi istimewa yang dilahirkan dengan telinga kirinya dipercayai tertera kalimah Allah jarang menangis walaupun lapar, namun seperti bayi lain dia tidak mampu menahan derita penyakit yang ditanggung.

Noraidah berkata, Nur Auni Atieyah lahir pramatang pada usia kandungan lapan bulan dan dikesan menghidap jantung berlubang tetapi dijangka mampu pulih apabila membesar.

“Doktor di Hospital Melaka menjangkakan jantung berlubang itu tertutup apabila Auni membesar, namun pemeriksaan dijalankan mendapati tiada perubahan setakat ini, malah saya menyedari Auni mudah mencungap-cungap.

“Luluh hati saya apabila doktor mendakwa Auni tidak normal dan jantungnya gagal berfungsi dengan baik, malah kini masalah jantung itu memberi tekanan kepada paru-parunya pula,” katanya yang tinggal di Kampung Ayer Limau, di sini.

Pasangan itu turut menanggung dua lagi anak iaitu Nur Alia Awatief, 7, yang mengalami obesiti, selain Nur Atierah Safieyah, 5, menghidap semput serta ibunya Halijah Awang, 70, sakit kencing manis.

Katanya, Auni dijadual menjalani pembedahan November ini, namun atas masalah kewangan, pembedahan itu ditangguh dan perkembangannya dirujuk di Hospital Serdang.

“Pada 2 Oktober lalu, saya dan suami membawa Auni ke hospital dan sepatutnya Auni menjalani pembedahan enam minggu kemudian, namun kami tidak cukup wang untuk menanggung kos pembedahan.

“Melihat keadaan Auni yang cepat mencungap, dia perlu menghadiri temu janji semula 1 Disember ini untuk menetapkan tarikh lain bagi pembedahan dan saya berharap pembedahan ini dilakukan segera,” katanya.

Noraidah berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu diberi minum susu melalui tiub dan tidak boleh terlalu banyak bergerak kerana menyebabkan Auni mudah muntah hingga menyebabkannya lemah.

“Keadaannya mudah mencungap membuatkan saya dan suami sentiasa memantau siang malam dan pada usia semuda ini, Auni perlu mengambil ubat darah tinggi berikutan tekanan darahnya tidak stabil.

“Auni perlu jalani pembedahan di Hospital Gleneagle, namun kos rawatan dan perbelanjaan mencecah RM50,000, sedangkan pendapatan suami yang bekerja di syarikat pembersihan hanya RM900 sebulan.

“Kami tak mampu menampung kos rawatan semahal itu, namun kami berharap dapat melihat Auni pulih dan bergerak cergas walaupun dikesan sebagai sindrom down,” katanya.

Dalam pada itu, Noraidah turut meluahkan rasa kesal terhadap pihak yang mendakwa pendapatan suaminya itu di tahap berkemampuan dan mendakwa akan menghubungi semula, namun tiada maklum balas.

“Jika kami berkemampuan, kami tidak perlu tebalkan muka meminta bantuan demi bayi kami apatah lagi untuk membawa Auni ke hospital juga kami menyewa kereta atau meminjam dari rakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:09 AM